KUALA LUMPUR: Shopee melancarkan program Shopee Lindung Niaga bernilai RM150 juta bagi memperkukuh daya tahan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan dalam mendepani landskap ekonomi digital yang semakin kompleks.
Inisiatif komprehensif ini dirangka untuk menangani cabaran operasi luar kawalan peniaga, termasuk perubahan dinamik perdagangan global dan jangkaan pengguna digital baharu yang kini lebih mementingkan nilai serta kemudahan.
Pendekatan ini bukan sekadar bantuan jangka pendek, tetapi turut memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan jangka panjang bagi memastikan PMKS mampu kekal berdaya saing.
Naib Presiden Shopee Malaysia, Ian Ho berkata, persekitaran yang dihadapi PMKS hari ini jauh berbeza berbanding beberapa tahun lalu, sekali gus menuntut perniagaan menyesuaikan diri dengan lebih pantas.
“Daya tahan bukan lagi sekadar mengurus cabaran harian tetapi keupayaan untuk menyesuaikan diri dan berkembang seiring perubahan ekosistem itu sendiri,” katanya.
Ketika ini, PMKS menyumbang hampir 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan merangkumi 48.7 peratus pekerjaan negara, menjadikan kelangsungan sektor ini sangat kritikal bagi ekonomi nasional.
Dalam konteks ini, platform e-dagang bukan lagi sekadar saluran jual beli, tetapi turut berperanan menghubungkan penjual kepada rangkaian logistik, pembiayaan dan akses pasaran yang lebih luas.
Program Shopee Lindung Niaga menggabungkan sokongan segera dengan pembinaan keupayaan jangka panjang melalui pendekatan yang lebih menyeluruh.
Melalui penyelesaian logistik, Shopee menawarkan program Baucar Penghantaran Percuma bagi membantu pengguna mengurus kos, yang secara langsung mengekalkan momentum transaksi dan permintaan untuk penjual.
Bagi mengurangkan beban kos operasi, Shopee memperkenalkan kadar komisen lebih rendah bagi lebih 100 kategori tambahan, di samping mengekalkan dasar komisen sifar bagi barangan keperluan harian untuk menyokong penjual dalam segmen tersebut.
Selain itu, akses modal kerja pantas turut disediakan menerusi kerjasama dengan Monee melalui penyelesaian pembiayaan seperti SLoan for Sellers dan Quick Funds, memberikan fleksibiliti dalam pengurusan aliran tunai.
Kecekapan operasi pula dipertingkatkan melalui program Fulfilled by Shopee (FBS), di mana penjual boleh menyerahkan urusan pergudangan dan logistik kepada Shopee bagi mengurangkan kos operasi, yang terbukti membantu meningkatkan trafik kedai sehingga 20 peratus.
Menyedari kerumitan logistik tertentu, Shopee turut memperluas sokongan kepada penjual barangan bersaiz besar atau bernilai tinggi seperti perabot dan peralatan rumah melalui rangkaian logistik bersepadu.
Langkah ini membolehkan peniaga menjangkau pasaran lebih luas tanpa perlu memikirkan kerumitan penghantaran sendiri.
Selain bantuan kewangan, Shopee terus melabur dalam infrastruktur dan pembangunan kemahiran melalui Shopee University, Shopee Xpert dan Bintang Komuniti bagi memastikan usahawan tempatan mempunyai keyakinan untuk terus bersaing.
“Daya tahan tidak dibina dalam sehari. Ia datang daripada pelaburan yang konsisten, sistem sokongan yang kukuh, dan ekosistem yang terus berkembang seiring perniagaan yang didukungnya,” tambah Ho.
© New Straits Times Press (M) Bhd
