KETIKA Lionel Messi terus mencipta sejarah di pentas Piala Dunia, tumpuan siaran langsung secara tiba-tiba beralih kepada seorang wanita berusia 100 tahun yang mencuri perhatian dari tempat duduk penonton.
Argentina menewaskan Austria 2-0 di Dallas dalam aksi yang turut menyaksikan Messi mencipta satu lagi detik bersejarah, namun momen paling tular malam itu hadir bukan daripada padang, sebaliknya dari tempat penonton.
Seorang wanita warga emas yang memakai jersi Argentina dilihat memegang sepanduk bertulis ‘Saya berusia 100 tahun dan saya peminat Messi’, sekali gus mencetuskan perhatian kamera siaran rasmi sebelum tular di media sosial.
Wanita itu dikenali sebagai Pauline Kana, atau lebih popular dengan gelaran Granny Smith dan Gangster Granny, seorang pencipta kandungan dari Ohio, Amerika Syarikat yang terkenal menerusi video viral bersama cucunya, Ross Smith.
Kana bukan nama baharu dalam kalangan peminat Messi apabila sebelum ini pernah beberapa kali hadir ke perlawanan Inter Miami, termasuk membawa sepanduk lucu yang berbunyi “Messi, will you marry me?” serta “I love you, age is just a number”.
Detik terbaharu di Piala Dunia itu hadir pada malam Messi meledak dua gol untuk mengukuhkan statusnya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kejohanan, sekali gus melengkapkan kemenangan Argentina ke pusingan kalah mati.
Kisah Kana menjadi lebih menarik apabila latar hidupnya sebagai pencipta kandungan turut mencuri perhatian, termasuk pengiktirafan Rekod Dunia Guinness selepas menjadi individu tertua melakukan aksi ‘crowd surf’ pada usia 99 tahun.
Kini pada usia 100 tahun, Granny Smith bukan sahaja menjadi sebahagian daripada sejarah viral Piala Dunia, tetapi turut mencipta satu lagi momen ikonik yang mengiringi kehebatan Messi di pentas terbesar dunia.






