May 18, 2024

Siapa yang tak boleh move on ni, KJ soal Zahid


KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar sinis terhadap kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 semalam.

Khairy Jalamuddin yang lebih dikenali sebagai KJ mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang turut menyentuh podcast ‘Keluar Sekejap’ dalam ucapannya.

Menurut bekas menteri Kabinet itu, Ahmad Zahid seolah-olah tidak boleh move on atau tidak boleh melupakan dan bergerak ke hadapan apabila melemparkan kritikan buruk secara terbuka.

“UMNO President, speaking at the party’s 78th anniversary, used the occasion to throw shade on some podcast of has been. Siapa yang tak boleh move on ni? (Presiden UMNO, ketika berucap pada ulangtahun ke-78 parti, mengatakan sesuatu yang buruk terhadap podcast. Siapa yang tak boleh melupakan ni?)” soal KJ.

Bekas Menteri Kesihatan itu membuat hantaran tersebut dalam Insta Story sambil berkongsi keratan layer MGNews bertajuk ‘Yang keluar sekejap itu mungkin akan keluar selama-lamanya – Ahmad Zahid’.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid menasihatkan pemimpin UMNO menggunakan platform media sosial sebagai usaha mendekati dan menarik sokongan dalam kalangan rakyat.

Presiden UMNO itu berkata, parti keramat itu perlu mencipta sentimen, menerajui naratif pemikiran rakyat dan memahami permainan dengan emosi serta perasaan masyarakat.

Beliau bagaimanapun menasihatkan mereka tidak mencontohi podcast Keluar Sekejap.

“Gunakan platform yang betul seperti TikTok dan Facebook untuk mendekati orang ramai dalam menyesuaikan persekitaran politik UMNO.

“Bukan seperti sesetengah orang yang menggunakan platform seperti (podcast) Keluar Sekejap atau mungkin boleh saya katakan, keluar selama-lamanya,” kata Ahmad Zahid.

Untuk rekod, podcast Keluar Sekejap (KS) dikendalikan dua bekas pemimpin UMNO Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan kini memiliki lebih 315,000 pengikut di platform YouTube yang mendapat jutaan tontonan.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top