Siapkan anak kali pertama kali berpuasa

Siapkan anak kali pertama kali berpuasa

Siapkan anak kali pertama kali berpuasa


suliati@hmetro.com.my

Bagi ibu bapa, pengalaman pertama anak berpuasa pasti menjadi detik manis keluarga.

Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga peluang untuk anak-anak belajar disiplin, kesabaran dan ibadat lain.

Walaupun kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, mereka digalakkan mula berpuasa seawal umur tujuh tahun sebagai latihan atau persediaan awal.

Awalnya, ia mungkin sedikit mencabar, terutama bagi anak yang belum bersedia, berbanding mereka yang rela hati ingin berpuasa.

Dengan pendekatan positif, anak bukan sahaja belajar menghargai puasa, malah terbiasa dengan rutin sahur, berbuka, solat terawih dan ibadat lain secara menyeronokkan.

Lebih daripada itu, ia boleh menjadi momen indah keluarga selain mengeratkan hubungan dengan anak.

Berikut tip ringkas yang boleh dipraktikkan dalam usaha menggalakkan anak berpuasa terutama bagi yang pertama kali mahu melakukannya.

1. Fahami konsep berpuasa

Terangkan kepada anak bahawa berpuasa bukan sekadar menahan makan dan minum, malah membabitkan ibadat seperti solat tarawih, sahur dan berbuka puasa.

Gunakan bahasa mudah atau cerita menarik supaya mereka faham tujuan dan kelebihan puasa.

2. Solat tarawih

Pada Ramadan, antara ibadat paling dinanti ialah solat tarawih.

Dengan membawa anak bertarawih, terutama di masjid, mereka dapat merasai suasana Ramadan yang lebih menyeronokkan.

Selain meningkat keterujaan dalam berpuasa, anak juga belajar disiplin, kesabaran, fokus dan terbiasa dengan amalan ibadat malam.

Ia sekali gus memperlihatkan kepada mereka ibadat sebagai sesuatu yang menyeronokkan, sama ada di rumah atau di masjid bersama keluarga.

3. Beri motivasi dan sokongan

Sokongan moral amat penting supaya anak yakin boleh berpuasa.

Oleh itu, berikan mereka pujian atau ganjaran kecil serta bintang apabila mereka berjaya berpuasa separuh mahupun penuh hari pertama.

Pendekatan positif ini membantu mereka rasa puas hati dan lebih bersemangat mencuba hari-hari seterusnya.

4. Jangan paksa

Elakkan memaksa anak berpuasa penuh, terutama yang masih kecil.

Biarkan mereka mencuba mengikut kemampuan masing-masing supaya pengalaman pertama berpuasa menjadi positif, bukan tekanan.

5. Teruskan aktiviti harian

Walaupun berpuasa, biarkan anak melakukan aktiviti biasa seperti bermain atau belajar.

Aktiviti membantu mereka terlupa rasa lapar dan membina pemahaman bahawa puasa bukan halangan untuk terus aktif dan gembira.

6. Sahur dengan makanan seimbang

Bangun sahur mungkin mencabar bagi anak. Oleh itu, sebelum tidur, ingatkan mereka mengenai sahur.

Ibu bapa atau penjaga juga boleh meminta anak memilih menu yang diinginkan, namun berkhasiat.

Pilih kombinasi karbohidrat kompleks, protein, buah-buahan dan minuman seperti susu atau air untuk memastikan tenaga mencukupi.

7. Berbuka dengan cara sihat

Ramadan juga sangat popular dengan pelbagai juadah berbuka.

Namun, galakkan anak berbuka dengan kurma dan air terlebih dahulu, kemudian hidangan utama yang seimbang.

Elakkan terlalu banyak makanan manis atau bergoreng pada permulaan supaya perut anak tidak terkejut.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top