Kuala Lumpur: Siasatan semula kes kematian Teoh Beng Hock kini berada di peringkat akhir, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Beliau berkata kertas siasatan kes itu sedang dilengkapkan dan diperkemaskan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya tidak lama lagi.
“Ini ialah siasatan yang terhad dari sudut sumber kerana kes telah berlaku 15 tahun lalu dan ada juga saksi yang tidak dapat kita temu bual semula.
“Kita juga memanggil pihak keluarga (namun) mereka tidak memberikan kerjasama yang baik untuk memperkemaskan kertas siasatan ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata penggunaan teknologi pengimbas tiga dimensi (3D) untuk membina semula lokasi kejadian bagi membantu siasatan semula kes kematian bekas pembantu Exco Selangor itu juga menghasilkan dapatan terhad dan tidak dapat memberikan gambaran jelas berkaitan lokasi Teoh ditemukan meninggal dunia.
“Ia tidak dapat memberikan gambaran perlakuan sebenar dalam 3D berkenaan kerana ia memerlukan input daripada saksi-saksi.
“Ada saksi yang tidak dapat kita ketemukan, ada saksi yang tidak mahu lagi tampil ke hadapan. Perkara yang dapat diberikan pengimbas 3D itu yang boleh ditambah di dalam kertas siasatan ialah kajian fizik membabitkan sudut mendiang jatuh,” katanya.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian Teoh dalam tempoh enam bulan.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Teoh terhadap Ketua Polis Negara, Pengarah Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai respoden pertama hingga keempat.
Teoh ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Teoh pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian mendiang memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Teoh dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
© New Straits Times Press (M) Bhd