KUALA LUMPUR: Walaupun berdepan cabaran geopolitik kompleks, China dianggap rakan yang dihargai dalam kalangan negara ASEAN.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar berkata, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China sebagai bab baharu dalam kerjasama strategik dengan beberapa negara lain selain ASEAN.
“Pertemuan ini untuk negara yang mahu membangunkan negara dengan percaya kepada hak asasi, kemerdekaan serta mereka yang mahu meningkatkan perdagangan dan pelaburan,” katanya pada majlis makan malam bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam tadi.
Anwar dalam masa yang sama turut merakamkan penghargaan kepada Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al Sabah dan Perdana Menteri China Li Qiang yang hadir dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
“Ia merupakan tanda sokongan dan kepercayaan pemimpin ASEAN yang tiada tandingnya dan istimewa,” ujarnya.
Sementara itu, majlis makan malam yang dihoskan Perdana Menteri itu diadakan di Dewan Pameran 4 dan 5 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan ketibaan tetamu jemputan dan delegasi bermula pukul 8 malam.
Antara tetamu yang hadir termasuk Perdana Menteri China Li Qiang; Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah dan Ahli Majlis Tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Semua tetamu turut dipersembahkan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan Koir Permata Seni selain persembahan lagu tradisional seperti Ulek Mayang dan Jambatan Tamparuli.
Selain itu, turut diadakan persembahan artis seperti Datuk Zainal Abidin, Bob Yusof dan Yasmin Aziz dengan nyanyian seperti ‘Sabai-Sabai’ dan ‘Oh Oh Timur’-UTUSAN