Sikh Izhan stabil selepas alami gegaran otak

Sikh Izhan stabil selepas alami gegaran otak


PENJAGA gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dilaporkan mengalami gegaran otak selepas bertembung dengan penyerang Terengganu FC (TFC), Romel Morales dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.

Pertembungan itu berlaku ketika perlawanan memasuki separuh masa kedua, menyebabkan Sikh Izhan terpaksa meninggalkan padang sebelum dibawa ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HSZA) untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan.

Selangor FC dalam perkembangan terkini memaklumkan keadaan penjaga gol berusia 24 tahun itu kini stabil selepas mendapat rawatan, selain sudah kembali bersama skuad untuk pemantauan lanjut.

Kelab itu turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang bertindak pantas memberikan bantuan kecemasan ketika kejadian.

“Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai perubatan perlawanan serta pasukan perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma HSZA atas tindakan pantas dan bantuan kecemasan yang diberikan,” menurut kenyataan Selangor FC.

Sebelum insiden terbabit, Sikh Izhan menjadi antara tonggak penting Selangor apabila melakukan beberapa aksi menyelamat bagi menafikan percubaan pemain TFC.

Dia kemudian digantikan Azim Al Amin Kamaruddin pada minit ke-77 susulan kecederaan berkenaan.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon berkata beliau dimaklumkan Sikh Izhan masih sedar ketika menerima rawatan.

“Saya harap tiada apa-apa perkara buruk berlaku kepada dia dan kita bersama-sama mendoakan keselamatannya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top