Sindiket dadah didalangi warga emas tumpas, rampasan bernilai RM16.4 juta

Sindiket dadah didalangi warga emas tumpas, rampasan bernilai RM16.4 juta

Sindiket dadah didalangi warga emas tumpas, rampasan bernilai RM16.4 juta


ISKANDAR PUTERI: Satu sindiket dadah yang didalangi seorang warga emas tumpas apabila dia bersama tiga lagi ahli sindiket itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan dijalankan sekitar bandar raya ini dan Johor Bahru, Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah, peralatan memproses dadah dan katrij vape bernilai RM16.4 juta dalam operasi berkenaan.

Katanya, kesemua yang ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua lelaki warganegara asing berusia antara 27 hingga 60 tahun.

“Serbuan pertama melibatkan sebuah premis rumah kedai di Skudai, di sini yang dipercayai beroperasi sebagai makmal memproses dadah, manakala serbuan kedua juga melibatkan premis rumah kedai juga di Skudai yang dijadikan tempat memproses katrij vape mengandungi dadah.

“Sementara itu, serbuan ketiga melibatkan sebuah kediaman di Taman Mutiara Mas yang menyaksikan dalang berusia 60 tahun berjaya ditahan,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Tambah Chuan Huat, sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak Januari lalu dengan memasarkan dadah berkenaan untuk pasaran seluruh negeri ini.

“Jumlah rampasan dadah melibatkan 94.76 liter cecair methamphetamine dan 14.61 kilogram bahan kimia jenis etomidate dengan nilai keseluruhan RM16.4 juta. Jika kekal dalam pasaran, ia boleh digunakan seramai 120,649 orang.

“Turut disita termasuklah tiga buah kenderaan, pelbagai peralatan menyimpan dan memproses dadah serta wang tunai tempatan dan luar negara.

“Urin mendapati dua suspek positif dadah, dengan dua orang turut memberitahu rekod jenayah lampau. Mereka semua direman selama tujuh hari sehingga 25 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Chuan Huat turut memberitahu bahawa rampasan dalam serbuan berkenaan merupakan yang terbesar di Johor, tahun ini.



Source link

OR

Scroll to Top