SK Leftenan Adnan bawa semangat pejuang, SK Seksyen 20 sedia gempur

SK Leftenan Adnan bawa semangat pejuang, SK Seksyen 20 sedia gempur


SEKOLAH Kebangsaan (SK) Leftenan Adnan bertekad akan menghadirkan tahap kesukaran paling tinggi kepada penyandang juara SK Seksyen 20 apabila kedua-dua pasukan berentap di pentas suku akhir Piala Raja Muda Selangor pada Khamis.

Malah pengurus pasukan SK Leftenan Adnan, Zainudin Ramli menyifatkan kemenangan besar 4-0 ke atas SK Taman Tun Dr Ismail Jaya, di pentas pusingan 16 memberikan bayangan pasukan dari Kajang itu bersedia untuk pergi lebih jauh dalam edisi ke-35 kali ini.

Namun di sebalik itu, Zainudin mengingatkan pemain-pemain SK Leftenan Adnan untuk terus fokus dan tidak terlalu selesa, kerana cabaran di peringkat seterusnya lebih sukar.

“Syukur alhamdulillah, pasukan SK Leftenan Adnan mara ke suku akhir Piala Raja Muda Selangor kali ini.

“Kemenangan 4-0 diraih SK Leftenan Adnan menunjukkan pasukan berada dalam prestasi yang terbaik dan bersedia untuk menghadapi fasa lebih sengit dalam kempen Piala Raja Muda Selangor 2024.

“Ia bukan sahaja memberi isyarat bahawa persediaan fizikal dan taktikal berjalan lancar, tetapi juga menyuntik semangat bagi setiap pemain-pemain untuk lebih berdisiplin bagi melangkah ke peringkat seterusnya,” kata Zainudin kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Sebagai rekod, SK Leftenan Adnan kendalian Nor Azmi Ahmad dan Azra’i Yahya mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menewaskan SK Taman Tun Dr Ismail Jaya dalam Pusingan 16 Piala Raja Muda Selangor di padang SK Sungai Lang, Banting pada Isnin.

Dalam pada itu, Zainudin juga berkongsi beberapa elemen utama memacu konsistensi SK Leftenan Adnan dari peringkat kumpulan hingga ke Pusingan 16 Piala Raja Muda Selangor apabila menegaskan latihan bersistematik dan disiplin antara faktor penyumbang.

“Jadual latihan yang konsisten dan pendekatan taktikal yang teratur memberikan pasukan ini sentiasa bersedia untuk setiap perlawanan.

“Kerjasama dan semangat berpasukan yang dipacu kerjasama erat antara pemain, jurulatih, guru-guru dan ibu bapa serta sokongan padu yang diberikan oleh barisan pentadbir antara kekuatan utama SK Leftenan Adnan.

“Keazaman yang tinggi dan daya tahan mental yang kuat. Mereka tidak mudah goyah walaupun menghadapi tekanan, yang mana sifat ini amat penting untuk mencapai konsistensi dalam setiap perlawanan.

“Kita bukan saja menyediakan pasukan terbaik pada setiap perlawanan tetapi pasukan kami juga mendalami dan mengkaji setiap kekuatan dan kelemahan pihak lawan dalam setiap perlawanan kami.

“Selain daripada aspek fizikal, motivasi yang tinggi daripada barisan pentadbir, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, rakan sepasukan guru, serta penyokong juga memainkan peranan penting dalam memastikan mereka kekal fokus dan bersemangat,” katanya lagi.

Ditanya lebih lanjut persediaan berdepan SK Seksyen 20, yang juga juara Piala Sumbangsih, Zainudin berkata: “Pasukan kami mengambil inspirasi seorang pejuang Negara iaitu Leftenan Adnan untuk diterapkan di dalam jiwa pemain-pemain.

“Di samping itu juga, kami sudah menjalani latihan intensif dari segi fizikal dan mental kerana kami percaya perlawanan yang bakal ditempuh selepas ini pasti memberikan saingan yang sengit.

“Insya-ALLAH dengan persediaan yang telah dilakukan, kami yakin mampu memberikan saingan sengit dalam pertandingan suku akhir ini.

“Ini adalah satu cara untuk menekankan keyakinan dan persediaan mentaliti pasukan dalam menghadapi cabaran sukar,” katanya.

SK Seksyen 20 akan berdepan SK Leftenan Adnan di pentas suku akhir Piala Raja Muda Selangor pada Khamis.

SK Seksyen 20 akan berdepan SK Leftenan Adnan di pentas suku akhir Piala Raja Muda Selangor pada Khamis.

Sementara itu, penyandang juara, SK Seksyen 20, Shah Alam berada pada tahap terbaik selain diiringi motivasi tinggi menjelang aksi suku akhir, pada Khamis.

Malah penolong pengendali SK Seksyen 20, Nik Juhaidi Tarmizi Juhari mengakui juara Piala Sumbangsih itu juga bertekad membawa pengalaman menjinakkan SK Telok Panglima Garang, berdepan pasukan lawan dari Kajang tersebut.

“Insya-ALLAH, jika semua pemain SK Seksyen 20 memberikan persembahan yang terbaik dan kurang membuat kesilapan, kami berada di landasan terbaik mengekalkan akan kejuaraan untuk edisi 2024,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

SK Seksyen 20, mengesahkan slot suku akhir selepas menewaskan SK Telok Panglima Garang, 2-1 pada saingan Pusingan 16 Piala Raja Muda Selangor di padang SK Perdana Jaya, Subang Jaya pada Isnin.

Sebagai rekod, Piala Raja Muda Selangor edisi ke-35 menyaksikan sebanyak 32 pasukan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan dua pasukan teratas dalam kumpulan layak ke pusingan 16 terbaik, diikuti suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Kejuaraan pembangunan bakat bawah 12 tahun ini terus mendapat penajaan daripada Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad dengan Sinar Harian sebagai media rasmi.


PIALA RAJA MUDA SELANGOR

SUKU AKHIR

KHAMIS (17 OKTOBER)

SK Seksyen 20 lwn SK Leftenan Adnan

(Padang SK Sri Petaling, 8.30 pagi)

SK Bukit Kerayong lwn SK Bandar Baru Selayang 2

(Padang SK Putra Height, 8.30 pagi)

SK TUDM Subang lwn SK Jalan 3

(Padang SK Sri Petaling, 9.45 pagi)

SK Seri Selangor lwn SK Seri Pristana

(Padang SK Putra Height, 9.45 pagi)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top