Skuad double intai pemain versatil

Skuad double intai pemain versatil


Libasan padu Noraizat (kanan) ketika aksi final double Piala Asia. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

SKUAD sepak takraw negara mahu mencari pemain versatil terutama dalam acara double bagi mengharungi cabaran lebih besar di pentas antarabangsa termasuk Piala Raja Thai di Bangkok Julai depan.

Pemilihan pemain yang variasi penting buat kem negara bagi menyaingi pasukan tuan rumah dalam misi merampas pingat emas yang terlepas kepada musuh tradisi itu pada Piala Asia Kuala Lumpur 2025 baru-baru ini.

Impian untuk muncul juara tidak kesampaian apabila gandingan Noraizat Mohd. Nordin dan Aidil Aiman Azwawi tewas 1-2 kepada pasangan Thailand dalam aksi final double yang mendebarkan di Stadium Titiwangsa.

Keputusan tersebut menyaksikan jurang daripada aspek ketajaman taktikal dan kekuatan posisi dimiliki skuad Gajah Perang tersebut, sekali gus mendorong skuad bimbingan Aswadi Abdullah untuk membentuk gandingan yang lebih ampuh.

Malah beliau menngakui kelebihan taktikal Thailand, terutama posisi apit kiri mampu melakukan rejaman bertenaga, sesuatu yang jarang dimiliki pemain Malaysia ketika ini.

“Thailand ada pengumpan apit kiri yang boleh buat rejaman. Itu satu kelebihan besar.

“Di Malaysia, kita tidak ramai pemain yang mempunyai ciri seperti itu. Kalau nak bersaing di peringkat antarabangsa, kita perlu pemain yang lebih variasi,” katanya.

Justeru beliau berharap kepada keperluan untuk memperbanyakkan penganjuran acara kuadran dan double dalam negara bagi melahirkan lebih ramai pemain yang berkemahiran tinggi dalam format tersebut.

“Mengenai Piala Raja Thai masih dalam peringkat perbincangan, tapi kita ada perancangan awal untuk cuba teroka pemain baharu. Kita mahu cari bakat yang boleh beri lebih variasi kepada pasukan,” ujarnya.

Mengulas mengenai prestasi kem double dalam saingan Piala Asia itu, Aswadi mengakui mereka aksi memberangsangkan, namun sedar kekurangan yang perlu diperbaiki untuk menyaingi kuasa besar seperti Thailand.

“Kalau kita tengok dari awal hingga ke final, pemain dah tunjukkan yang terbaik. Dari peringkat kumpulan ke separuh akhir, mereka terjemahkan permainan dengan baik.

“Cuma aksi final, mungkin ada peluang kita tak dapat manfaatkan dan Thailand menggunakan kesempatan untuk mencipta kebangkitan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top