aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Barisan atlet pingpong tidak seharusnya melepaskan peluang untuk cuba melayakkan diri beraksi di temasya Olimpik Paris selepas lebih daripada 30 tahun tidak berjaya berbuat demikian.
Kini peluang terbuka buat barisan pemain yang mana akan turun beraksi dalam pertandingan Kelayakan Olimpik Asia Tenggara di Bangkok dari 6 hingga 8 Mei ini.
Di atas kertas, pemain pingpong wanita dilihat lebih berpeluang untuk mendapat tiket secara merit selepas seteru utama iaitu Thailand sudahpun mendapat tempat ke Paris.
Kini mereka hanya perlu menewaskan lawan dari Singapura yang sebelum ini pernah di tewaskan dan muncul juara bagi mendapat tiket automatik ke Olimpik.
Jurulatih pingpong negara Beh Lee Wei berkata, Malaysia akan menghantar dua pemain lelaki dan dua wanita ke kejohanan berkenaan.
“Sudah lama kita tidak pernah layak ke Olimpik dalam pingpong. Kali ini kita ada peluang tapi pemain kena fokus dan beri sepenuhnya.
“Kita pernah menang dengan pemain Singapura sebelum ini tapi itu tidak boleh jadi ukuran kerana masa pertandingan apa-apapun boleh terjadi.
“Jadi yang penting adalah untuk fokus dan beri terbaik,” katanya.
Selain kejohanan kelayakan di Bangkok, skuad pingpong negara akan turut menghantar wakil beraksi di Kejohanan Kelayakan Olimpik Beregu Campuran Dunia di Republik Czech dari 10 hingga 12 Mei ini.
Cabaran negara di kejohanan kelayakan yang menawarkan empat slot ke Olimpik itu akan digalas Choong Javen yang akan bergandingan dengan Karen Lyne.
Mereka perlu mara ke final sama ada pada pusingan pertama atau kedua di kejohanan berkenaan.
“Di Republik Czech ada empat slot yang ditawarkan dengan dua pusingan akan dilangsungkan.
“Jika mereka gagal pada pusingan pertama mereka boleh mencuba pada pusingan kedua yang mana dua pasangan ke final akan layak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd