sukan@hmetro.com.my
Surabaya: Skuad renang negara membuka hari pertama Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 Surabaya-Malang dengan menuai dua pingat emas, petang tadi.
Selain dua pingat emas, mereka turut merangkul satu perak dan tiga gangsa menerusi tujuh acara yang dipertandingkan di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI) Jawa Timur, hari ini.
Tan Khai Xin menghadiahkan pingat emas acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki menerusi catatan 4:05.18 saat (s) untuk pingat emas kedua kontinjen negara pada AUG 2024 selepas atlet judo, Nur Farrah Izzati Wallah merangkul pingat emas pertama negara, pagi tadi.
Ini menyaksikan skuad negara mempertahankan pingat emas dimenangi pada edisi 2022 dengan seorang lagi perenang negara, Low Zheng Yeng memenangi pingat perak menerusi catatan 4:06.21s.
Olimpian negara, Phee Jinq En turut cemerlang apabila menghadiahkan emas kedua selepas mengungguli acara 50m kuak dada wanita dengan catatan 32.03s.
© New Straits Times Press (M) Bhd