PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menyenaraikan dua pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dirasakannya lebih mencabar untuk dihadapi berbanding Arsenal.
Musim lalu, Arsenal menamatkan saingan sebagai naib juara di belakang Liverpool dan kedua-dua pasukan dijangka sekali lagi bersaing memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim 2025-26.
Musim baharu Liga Perdana akan bermula pada Jumaat ini dengan juara bertahan Liverpool menanti kunjungan AFC Bournemouth bimbingan Andoni Iraola di Anfield.
Bournemouth menamatkan saingan di tangga kesembilan musim lalu dan Slot menganggap kelab dari pantai selatan England itu sebagai mungkin pasukan paling berintensiti tinggi dalam liga diikuti Newcastle United di tempat kedua dan Arsenal ketiga.
“Bournemouth mungkin pasukan paling berintensiti tinggi dalam liga musim lalu dari segi larian.
“Kemudian Newcastle dan Arsenal, itulah gambaran liga ini. Bournemouth memang berintensiti tinggi.
“Kami menang 3-0 di Anfield musim lalu tetapi kalau lihat semula perlawanan itu, mereka sebenarnya menjaringkan gol yang dibatalkan kerana ofsaid.
“Kemudian tiga kali kami bergerak pantas daripada bawah ke depan dan pada separuh masa kami sudah 3-0 di depan.
“Kalau di Belanda, saya rasa ia jadi 5-0, tetapi mereka tetap berusaha selepas rehat dan itulah mentaliti mereka.
“Di gelanggang lawan (Stadium Vitality) ia lebih sukar, jadi mereka memang pasukan dan jurulatih yang hebat,” katanya.
Berdasarkan statistik Opta, Bournemouth dan Tottenham merupakan dua pasukan paling fizikal dalam saingan Liga Perdana 2024-25 dari segi jarak larian dan jumlah pecutan dilakukan.
Newcastle dan Brighton turut mencatat angka tinggi bagi kedua-dua aspek tersebut, namun masih di belakang Bournemouth dan Spurs.
Arsenal pula berada di kedudukan tinggi dari segi jarak larian, namun antara yang terendah dalam jumlah pecutan dilakukan.