Asrul ketika memberikan arahan kepada para pemain SMK Bandar Saujana Putra.
STATUS pasukan bukan pilihan tidak sedikit pun melunturkan semangat Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Bandar Saujana Putra untuk mencipta kejutan apabila menentang SMK Tinggi Kajang pada aksi suku akhir Piala Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) di Padang MBSA Seksyen 28, Shah Alam petang ini.
Ketua Jurulatihnya, Asrul Othman mengakui anak buahnya kini berada dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk memberikan tentangan sengit terhadap pasukan lawan yang dianggap sebagai antara pasukan pilihan dalam saingan tersebut.
“Alhamdulillah, persiapan kami berjalan lancar. Insya-ALLAH, semua pemain utama dapat diturunkan. Walaupun kami bukan pilihan, mentaliti pemain sekarang berada pada tahap tertinggi dan mereka sangat bersemangat untuk mengharungi perlawanan ini.
“Kami sedar siapa lawan kami, tetapi itu bukan penghalang untuk kami mencuba yang terbaik. Malah, kami jadikan pengalaman terkandas di peringkat suku akhir tahun lalu sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh tahun ini,” katanya kepada Sukan Sinar.

Para pemain SMK Bandar Saujana Putra sudah bersedia memperagakan aksi terbaik menentang SMK Tinggi Kajang.
Mengulas mengenai pertembungan kali pertama menentang SMK Tinggi Kajang itu, Asrul menyifatkan ia sebagai satu pengalaman yang sangat berharga buat barisan pemainnya.
“Ini sesuatu yang menarik kerana kami tidak pernah bertemu dengan SMK Tinggi Kajang sebelum ini. Kita tahu kemampuan mereka, jadi ini merupakan pengalaman baharu yang baik buat anak didik saya.
“Pemain sudah berjanji untuk memberikan aksi terbaik. Kalau ada rezeki, kami mahu melangkah ke final,” ujarnya.
Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Dan PNSB menjadi penaja utama Kejohanan (bawah 18 dan bawah 15 tahun) manakala Sinar Harian adalah akhbar rasmi.






