SMK Dato’ Abu Bakar Baginda tekad menampilkan aksi terbaik pada perlawanan suku akhir Piala Mokhtar Dahari.
BERBEKALKAN momentum kejuaraan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Sepang baru-baru ini, pasukan SMK Dato’ Abu Bakar Baginda kini bersedia sepenuhnya untuk mengharungi aksi suku akhir Piala Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun di Padang MBSA Seksyen 28, petang ini.
Ketua jurulatihnya, Mohd Syukri Azeman berkata, keyakinan dan prestasi anak buahnya kini berada pada tahap terbaik menjelang pertembungan sengit menentang SMK Dato’ Harun.
Menurutnya, kejayaan menjuarai saingan MSSD Sepang B-18 pada Jumaat lalu telah menyuntik semangat serta moral yang tinggi dalam kalangan pemain untuk meneruskan rentak cemerlang tersebut.
“Saya melihat tahap keyakinan dan prestasi pasukan ketika ini berada pada tahap terbaik. Harapan saya, semoga pemain dapat mengekalkan fokus dan beraksi mengikut percaturan yang dirancang sepanjang perlawanan nanti.
“Semangat pasukan juga berada dalam keadaan yang sangat positif selepas kejayaan di peringkat daerah minggu lalu,” katanya kepada Sukan Sinar.
Mengulas mengenai pertemuan menentang SMK Dato’ Harun, Mohd Syukri mengakui ia merupakan pertembungan yang menarik memandangkan kedua-dua pasukan belum pernah bertemu dalam kancah Piala Mokhtar Dahari sebelum ini.
“Ini pertemuan pertama kami dengan mereka dalam kejohanan ini, jadi kami perlu berwaspada terhadap kemampuan lawan.
“Bagaimanapun, sasaran utama pasukan sudah jelas iaitu mahu melangkah sejauh mungkin dengan menyasarkan slot ke peringkat akhir Piala Mokhtar Dahari 2026,” ujarnya.
Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Dan PNSB menjadi penaja utama Kejohanan (bawah 18 dan bawah 15 tahun) manakala Sinar Harian adalah akhbar rasmi.





