July 27, 2024

Sock Tao mahu pindah KKB, dengar masalah rakyat

Sock Tao mahu pindah KKB, dengar masalah rakyat


HULU SELANGOR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu yang baharu, Pang Sock Tao akan menumpukan kepada penyelesaian masalah tempatan yang mendesak selepas beliau kini diberi mandat sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, langkah itu diambil demi menjamin kesejahteraan rakyat di kawasan yang dimenanginya.

“Perkara yang saya akan lakukan pada hari pertama berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu (KKB) adalah saya ingin mendengar dan menyelesaikan masalah yang mendesak daripada penduduk di KKB.

“Saya akan bekerjasama bergerak sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan masalah tempatan bagi menjamin kesejahteraan rakyat di KKB,” katanya pada sidang media sebelum pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu di Pejabat UMNO Bahagian Kuala Kubu Baharu di sini malam ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Pengarah Pilihan Raya Kuala Kubu Baharu dan beberapa pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Sock Tao berterima kasih kepada semua penyokong dan petugas media yang berkerja keras sepanjang PRK itu berlangsung.

Kemenangan itu lebih bermakna dengan sokongan penuh daripada suami dan ahli keluarganya yang tersayang.

“Saya adalah wakil rakyat penduduk di Kuala Kubu Bharu tidak kira bangsa, agama dan latar belakang politik,” ujarnya.

Ditanya sama ada beliau akan menetap di Kuala Kubu Baharu sebagaimana janjinya ketika berkempen sejak 14 hari lalu, Sock Tao akan menunaikan janji itu dan akan melakukannya.

“Sepanjang tempoh PRK ini saya sudah tinggal di KKB dan sedang mencari rumah dan akan tinggal di sini,” katanya.

Sock Tao memenangi PRK Kuala Kubu baharu selepas berjaya menewaskan tiga pencabarnya iaitu Khairul Azahri Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

Sock Tau menang dengan jumlah undi sebanyak 14,000 dan majoriti 3,869 undi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tak rasmi: Sock Tao wakil rakyat baharu Kuala Kubu Baharu



Source link

OR

Scroll to Top