July 27, 2024

Sock Tao umum manifesto Jumaat ini

Sock Tao umum manifesto Jumaat ini


HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao akan mengumumkan manifestonya pada Jumaat ini.

Bercakap kepada media, beliau memberikan gambaran mengenai tawaran dalam manifestonya nanti adalah berkisar tentang pembangunan bagi penduduk di DUN berkenaan termasuk kemajuan yang akan dibawakan untuk masyarakat orang asli.

“Pada Jumaat nanti saya akan bagi butiran…isu yang relevan adalah apa tawaran kita dan apa rancangan kita untuk warga KKB ini,” katanya ketika ditemui pada Sesi Ramah Mesra bersama Orang Asli Kampung Tun Razak, di sini hari ini.

Dalam pada itu Pang berkata, sekiranya beliau diberikan mandat bagi mewakili masyarakat Kuala Kubu Baharu pada PRK ini, komuniti orang asli tidak akan terlepas daripada jaminan kesejahteraan yang bakal ditawarkan dalam manifestonya.

Jelasnya, beliau akan berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mencapai hasrat berkenaan.

“Saya juga akan menetap di sini bagi memahami masalah dan juga berkhidmat untuk masyarakat di sini,” ujarnya.

PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan Sock Tao berdepan Khairul Azhari Saut dari Parti Perikatan Nasional (PN); Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas). – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top