Amalan sedekah merupakan sebuah amalan yang disarankan di dalam Islam. Bukan hanya dijanjikan ganjaran pahala, malah ia membentuk diri untuk menjadi insan yang lebih bertanggungawab dan sensitif tentang kesusahan orang lain.
Justeru, dalam usaha untuk menyemai amalan bersedekah dikalangan masyarakat kita, Hijabista bersama dengan Kenanga Investors Berhad membawakan Tazkirah 2U yang dihoskan oleh Hana Ismail.
Berdiskusi topik Sembunyi Dalam Terang, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Profesor Madya Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM membuka kalam bicara dengan menerangkan mengenai keikhlasan dalam bersedekah.
Menurutnya, media sosial hari ini diibaratkan sebagai pentas dalam mempersembahkan realiti kehidupan. Sama ada golongan selebriti mahupun orang awam, ramai yang memilih untuk memperlihatkan segala aktiviti yang dilakukan di akaun media sosial mereka, termasuklah dengan amalan bersedekah.
Namun, persoalannya, adakah wujud secebis nilai keikhlasan jika amalan sedekah itu dipertontonkan kepada khalayak umum? Mengapa tidak dilakukan secara sembunyi?
Menurut Prof. Madya Dr. Nik Salida, andai amalan sedekah yang dilakukan itu dapat mempengaruhi orang lain untuk melakukan kebaikan, maka tidak mengapa. Namun, jika niat yang wujud di hati itu bukan atas dasar kerana Allah SWT, maka ia hanyalah amalan yang disia-siakan.
“Jika kita merupakan seorang influencer yang dapat mempengaruhi orang lain untuk membuat kebaikan, maka tiada masalah. Sebagai contoh, kita kongsi kegembiraan seseorang apabila mendapat bantuan derma dengan tujuan untuk merangsang mata yang melihat melakukan sedekah,” ujarnya.
Tambahnya lagi, ia bukan sahaja merujuk kepada satu individu sahaja, malah, mereka yang melihat juga harus disemikan dengan sangka baik supaya dijauhi dari fitnah.
“Bukan hanya kepada mereka yang berkongsi tentang amalan sedekah di media sosial, tetapi kita yang melihat ini juga harus sentiasa bersangka baik. Usah racuni fikiran dengan tanggapan yang negatif,” nasihatnya.
“Hidup 80 tahun, hanya 1/2 hari saja amalan diterima..”
Sukar untuk kita aturkan mengenai apa yang dilakukan oleh setiap hamba Allah SWT. Sukar juga untuk kita tahu tentang keikhlasan hati seseorang. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Sebagai umat Islam, kita harus sentiasa berusaha mencari keikhlasan hati suapaya mendapat keberkatan dari-Nya. Andai timbul rasa riak dan takbur, amalan yang dilakukan hanyalah sia-sia.
“Kita ambil contoh yang mudah, di dalam masjid. Ada tabung derma dihadapan kita lalu kita sedekah RM5. Tetapi, kerana malu orang sebelah memandang, kita masukkan lagi RM5. Adakah ia diterima Allah? Jawapannya, hanya RM5 awal tadi yang diterima Allah kerana ikhlas. Boleh jadi, RM10 yang disedekahkan itu tidak diterima oleh Allah SWT. Bukankah ia menjadi amalan yang sia-sia?,” tambah Prof. Madya Dr. Nik Salida.
Apa yang lebih menakutkan apabila saat kita dihimpunkan di akhirat kelak, dan diperhitungkan segala amalan, usah terkejut sekiranya sepanjang usia kita selama 80 tahun, amalan baik yang kita lakukan selama kita hidup, hanya diterima setengah hari saja diterima oleh Allah SWT. Nauzubillah..
“80 tahun hidup, hanya setengah hari saja bermanfaat. Sedangkan orang itu solat 5 waktu, berpuasa, bersedekah, menunaikan umrah dan haji, tetapi amalannya hanya diterima 1/2 hari sahaja.
Rupa-rupanya, hanya 1/2 hari sahaja yang dilakukannya ikhlas, kerana Allah SWT. Amalannya yang lain dilakukan kerana manusia. Sungguh, hidupnya di dunia hanyalah sia-sia. Semoga kita dijauhkan,” ulasnya lanjut.
“Sentiasa berdoa untuk elak murka Allah..”
Benar. Bukan mudah mencapai sebutir zarah sebuah keikhlasan. Namun, andai diri sentiasa dekat dengan-Nya, maka, diri pasti tidak lekang dengan nilai ikhlas saat bersedekah. Bukankah Allah SWT itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang?
Menurut Prof. Madya Dr. Nik Salida, amalan sedekah itu, sebaik-baiknya dilakukan secara senyap dan sembunyi. Ibarat, tangan kanan memberi, tangan kiri pun tidak tahu. Apatah lagi orang di sebelah. Jika kita tidak mampu untuk elak rasa bangga, riak dan takbur, maka sulamilah diri dengan ilmu-ilmu dari majlis agama, mendengar tazkirah dan berdoalah kepada-Nya.
“Kita sebagai seorang Muslim harus sentiasa mengajar diri untuk mengikhlaskan hati dan lakukan semuanya kerana Allah SWT. Pintalah kepadanya untuk permudahkan urusan dan memohon keberkatan darinya. Percayalah, amalan sedekah itu banyak ganjarannya.
Andai kita permudahkan manusia lain, maka Allah akan permudahkan urusan kita di dunia dan di akhirat. Usap harapkan balasan baik dari manusia, malah mintahlah rahmat kepada Allah kerana Dialah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,” ujarnya menutupi kalam bicara temubual eksklusif bersama Hijabista.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!