Sophia tak rasa disindir Bella

Sophia tak rasa disindir Bella


mohamadridzuan@hmetro.com.my

Putrajaya: “Saya tak rasa disindir. Mungkin itu cara dia menyampaikan sebab memang dia kenal. Setakat cara dia menyampaikan sajalah,” kata pelakon Sophia Albarakbah apabila ditanya momen penyampaian anugerah dari Bella Astillah dan pasangannya Syed Saddiq.

Sophia, 32, yang menerima anugerah Selebriti Feminin Terhangat juga tidak ambil hati dengan kata-kata segelintir netizen yang melihat ada sesuatu yang tidak kena antara dia dan Bella sewaktu menerima hadiah di atas pentas Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 yang berlangsung malam tadi.

Menurutnya, dia tidak melihat sebarang kejanggalan dan lebih fokus terhadap penghargaan yang diterimanya.

“Okay sahaja, sebab saya dalam industri yang sama. Bagi saya, saya masih dalam proses memahami kenapa saya yang menang… masih terkejut sebenarnya, ” katanya.

Anugerah Melodi Terhangat yang berlangsung di Dewan Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), disiarkan secara langsung di TV3 dan strim eksklusif di Tonton.

Bella pula membuat keputusan tidak masuk ke bilik temubual yang disediakan sehingga memaksa wakil media keluar mengejarnya yang sedang berjalan pulang bersama Syed Saddiq.

Mereka sepatutnya tampil untuk ditemubual selepas memenangi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat bersama Ahli Parlimen Muar itu.

Tindakan berkenaan sekali gus menguatkan lagi spekulasi netizen mengenai ‘ketegangan’ yang kononnya tercetus antara kedua-dua selebriti tersebut.

Terdahulu, nama Sophia meledak selepas Bella mendakwa dia menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya dengan Aliff sekitar Januari 2023.

Bella turut memuat naik tangkap layar memaparkan aktres itu memohon maaf dan ingin memperbetulkan keadaan berkaitan dakwaan mengganggu rumah tangga pasangan itu.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 2016 dan disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrian dan Ara Adreanna.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top