sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Amerika Syarikat (AS) hampir mencetuskan kejutan ke atas Malaysia sebelum Speedy Tigers bangkit mempamerkan karakter sebenar untuk meraih kemenangan 4-2 dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Cape Town, Afrika Selatan, hari ini.
Tersentak dengan dua gol awal lawan, skuad kendalian Brendon Carolan bagaimanapun berjaya bangkit pada separuh masa kedua untuk memastikan langkah mereka ke perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam tidak tersekat.
Malaysia dikejutkan seawal minit pertama apabila Sekayi Charasika meledak gol menerusi pukulan sudut penalti untuk memberikan AS permulaan sempurna.
Keadaan bertambah sukar buat Speedy Tigers apabila Alberto Montilla menggandakan kelebihan lawan hasil jaringan padang pada minit ke-17, sekali gus meletakkan Malaysia dalam situasi tertekan.
Namun, kebangkitan Malaysia bermula sejurus selepas rehat apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook merapatkan jurang menerusi gol pukulan sudut penalti pada minit ke-32 disusuli gol penyamaan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-39.
Malaysia mendahului selepas Faizal Saari menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-52 sebelum Muhamad Faris Harizan kemudian melengkapkan kebangkitan cemerlang Malaysia dengan gol keempat pada minit ke-55.
© New Straits Times Press (M) Bhd






