Pelajar jatuh bangunan: Fadhlina seru hormat sensitiviti keluarga, jamin kerjasama penuh KPM

Pelajar jatuh bangunan: Fadhlina seru hormat sensitiviti keluarga, jamin kerjasama penuh KPM


Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes seorang pelajar Tingkatan Empat yang dilaporkan terjatuh dari bangunan sekolah di Sendayan, Negeri Sembilan, pagi tadi.

Kejadian tragis itu sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia, manakala KPM turut menegaskan siasatan awal setakat ini tidak menemukan sebarang petunjuk yang mengaitkan insiden berkenaan dengan unsur buli atau gangguan di sekolah.

Dalam satu hantaran di Facebook, Fadhlina menzahirkan rasa dukacita serta turut berkongsi pertemuan bersama ibu bapa pelajar berkenaan di hospital.

“Mendapat perkhabaran duka pemergian anakanda di sebuah sekolah di Negeri Sembilan pada hari ini. Semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” kata Fadhlina.

Beliau turut menegaskan bahawa keutamaan ketika ini adalah memberi sokongan penuh kepada keluarga mangsa yang sedang melalui saat sukar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata siasatan awal berdasarkan maklumat keluarga mendapati tiada sebarang tanda awal berkaitan isu disiplin atau buli sebelum kejadian berlaku.

Menurutnya, ibu bapa pelajar berkenaan memaklumkan anak mereka berada dalam keadaan seperti biasa sebelum hadir ke sekolah pada hari kejadian.

“Ketika kejadian berlaku, bapa arwah turut berada di sekolah kerana menghadiri sesi perjumpaan ibu bapa dan guru. Mangsa difahamkan meminta izin untuk ke tandas sebelum insiden berlaku,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Turut hadir ke Unit Forensik Hospital Rembau malam tadi ialah Fadhlina sendiri bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang turut menziarahi keluarga mangsa.

KPM turut memaklumkan sokongan psikososial akan disalurkan kepada ahli keluarga, rakan sekelas dan guru yang terkesan, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar atau rakaman kejadian demi menjaga privasi keluarga mangsa.

Proses bedah siasat difahamkan telah dijalankan, manakala siasatan lanjut masih diteruskan pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.





Source link

OR

Scroll to Top