PENYERANG negara, Faizal Saari mencipta jaringan hatrik untuk mengemudi Malaysia menang 5-4 ke atas Austria dan menduduki tempat ketujuh daripada sembilan negara dalam kempen Piala Negara-Negara 2024 di Gniezno, Poland, pada Ahad.
The Speedy Tigers mendahului pada minit kedua pada perlawanan penentuan tempat ketujuh-kelapan melalui jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal sebelum Faizal menggandakan jaringan dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-18.
Austria di ranking ke-19 dunia merapatkan defisit kepada 2-1 menerusi pukulan penalti Fulop Losonci pada minit ke-21 tetapi Mohammad Fitri Saari memulihkan kelebihan dua gol Malaysia apabila menyempurnakan pukulan penalti dua minit kemudian.
Abangnya, Faizal kemudian menyempurnakan hatrik dengan dua jaringan padang dalam tempoh dua minit pada minit ke-32 dan 33 untuk meletakkan Speedy Tigers mendahului 5-1.
Bagaimanapun, Malaysia di ranking ke-13 dunia membenarkan Austria bangkit dengan jaringan Maximilian Scholz (34′ 51) ‘dan Arthur Kucera (49’) untuk bertahan dengan kemenangan tipis.
Sementara itu, pengendali Speedy Tigers, Sarjit Singh, walaupun berpuas hati dengan lima gol yang mereka jaringkan, jelas kesal dengan pasukannya kerana dibolosi tiga gol pada separuh masa kedua.
“Agak mengecewakan apabila gawang gol dibolosi tiga gol ketika mendahului 5-1. Kelemahan ini perlu dihentikan segera. Dua pemain muda kami, Muhamad Faris Harizan dan Azimuddin Syakir Kamaruddin, menyinar dan konsisten sepanjang kejohanan ini, mereka bermain dengan sangat baik.
“Secara keseluruhan, kami berjaya menjaringkan banyak gol dan sentiasa bermula dengan baik. Kami berharap dapat berusaha memperbaiki kelemahan kami,” katanya.
Tugasan seterusnya anak buah Sarjit ialah Trofi Juara-Juara Asia di Inner Mongolia, China dari 8 hingga 17 September depan.
INFO
Speedy Tigers menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan B selepas seri 4-4 dengan Pakistan, tewas 3-1 kepada Perancis dan menewaskan Kanada 4-2 untuk terlepas peluang ke separuh akhir.
Skuad negara kemudian tewas 4-3 kepada Korea Selatan dalam perlawanan klasifikasi kelima-kelapan.
OR