The Speedy Tigers memulakan kempen Super Four Piala Asia dengan kemenangan 2-0 ke atas China di Stadium Hoki Rajgir, India, pada Rabu.
MISI memburu enam mata menyala garang apabila skuad hoki lelaki negara, The Speedy Tigers, memulakan kempen Super Four Piala Asia dengan kemenangan 2-0 ke atas China di Stadium Hoki Rajgir, India, pada Rabu.
Separuh masa pertama berlangsung seimbang apabila kedua-dua pasukan saling menguji namun gagal menembusi gawang lawan untuk menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan kekal 0-0.
Segalanya berubah di suku keempat. Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan membuka tirai jaringan pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti.
Mohamad Akhimullah Anuar Esook kemudian menggandakan kedudukan dua minit kemudian hasil gerakan padang kemas untuk Speedy Tigers selesa di depan.
Kemenangan itu memastikan tiga mata pertama buat anak buah Sarjit Singh, sekali gus meniup semangat untuk mengutip baki tiga mata berdepan tuan rumah, India, pada Khamis.
Malaysia kemudian akan menutup saingan Super Four menentang Korea Selatan pada Sabtu, penentu kepada tiket ke pentas final