SPRM ambil keterangan individu di Taiwan, UK babit siasatan kes pelaburan RM1.1b

SPRM ambil keterangan individu di Taiwan, UK babit siasatan kes pelaburan RM1.1b


PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengambil keterangan beberapa individu di Taiwan dan United Kingdom (UK).

Ia bagi melengkapkan siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan syarikat Arm Holdings.

Tindakan itu diambil selepas SPRM berhubung dengan Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan bantuan perundangan bersama untuk memperoleh keterangan berkaitan siasatan berkenaan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, keterangan seramai 26 individu termasuk bekas Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas pembantunya Chai Jin Shern telah diambil setakat ini.

Beliau berkata, kertas siasatan kes berkenaan mungkin akan memgambil sedikit masa susulan maklum balas yang diterima agak perlahan dari kedua-dua negara berkenaan.

“Memandangkan ia melibatkan dua jurisdiction yang berbeza, kita perlu melalui peraturan, undang-undang, dan sebagainya.

“Jadi maknanya ia memerlukan sedikit masa, dan mungkin kes ini juga akan memakan masa sedikit dari segi penyiasatan,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut Abd. Halim berkata, urusan dokumentasi bahan-bahan bukti bagi kes berkenaan sedang dijalankan termasuk dokumen yang diserahkan oleh Rafizi.

Sementara itu, katanya, siasatan membabitkan pengambilalihan sukarela IJM Corporation oleh Sunway Bhd. masih dijalankan susulan penemuan unsur berkaitan penyelewengan dalam urusan berkenaan.

Abd. Halim berkata, siasatan mendapati terdapat elemen yang boleh disiasat di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) melibatkan dua individu.

Beliau berkata, setakat ini SPRM telah merakam keterangan 13 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kertas siasatan kes ini masih aktif kerana melalui siasatan yang dijalankan oleh SPRM, kita mendapati wujud unsur-unsur yang boleh disiasat di bawah undang-undang berkaitan,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top