July 23, 2024

SPUMI bantu lebih 29,000 usahawan India – Ramanan

SPUMI bantu lebih 29,000 usahawan India – Ramanan


KUALA LUMPUR – Lebih ramai usahawan India terus mendapat perhatian khusus kerajaan Madani terutama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menyalurkan pembiayaan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, setakat 31 Mei bulan lalu, SPUMI telah merekodkan skim bantuan bernilai RM458 juta kepada 29,136 usahawan layak inisiatif itu dimulakan sekitar tahun 2008.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, daripada jumlah itu, bagi tempoh Januari hingga 31 Mei 2024 iaitu sejak beliau mula bersama-sama menerajui KUSKOP, sebanyak RM17.9 juta telah disalurkan kepada 835 usahawan India di negara ini.

Bagi tahun 2024, pembiayaan berjumlah RM30 juta bawah Belanjawan 2024 telah diperuntukkan kepada Tekun Nasional bagi pelaksanaan SPUMI.

“Ini adalah satu kerajaan yang bukan sekadar cakap-cakap sahaja bahawa kehidupan komuniti masyarakat India akan diperkasa sebaliknya terus melaksanakan segala macam inisiatif pada setiap masa.

“Selain SPUMI, kita juga komited dalam memperkasakan golongan wanita India melalui Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.

Tambah Ramanan, bagi program PENN bawah AIM pula, sejak Januari 2024 hingga 31 Mei lepas, pembiayaan sebanyak RM10.85 juta telah disalurkan kepada 1,347 sahabat usahawan India.

“Melalui program PENN sahaja dengan dana khas RM50 juta seramai 7,100 sahabat usahawan India yang baharu disasarkan untuk menerima pembiayaan PENN dengan jumlah sehingga RM30,000,” ujarnya. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top