July 23, 2024

ARCHIDEX 2024: KPKT sasar lebih RM1b nilai dagangan

ARCHIDEX 2024: KPKT sasar lebih RM1b nilai dagangan


KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan urusniaga lebih RM1 bilion sepanjang empat hari dalam Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pembabitan syarikat pembinaan terbesar dari China dan 17 syarikat gergasi lain akan membantu potensi dagangan mampu dicapai dalam ekspo yang bermula 3 hingga 6 Julai itu.

“Kita jangka 40,000 pengunjung untuk lawat ekspo ini. Kita juga menjangkakan nilai dagangan boleh mencecah lebih RM1 bilion.

“Kali ini kita nampak ada lebih kurang 17 syarikat besar dari China termasuk CRCC, syarikat pembinaan terbesar di dunia dan kini mereka sedang membina Pavilion di sini di mana tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ini adalah permulaan baik dan kita akan teruskan dengan meneroka peluang serampang mata untuk bantu industri tempatan dan belajar antara satu sama lain bagi mewujudkan lebih prospek dan kemakmuran bersama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Kor Ming mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan ARCHIDEX 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, ekspo pembinaan itu mampu menarik minat pengunjung dengan tarikan utama model bandar pintar yang dipelopori syarikat dari China.

“China mempunyai bandar pintar yang paling canggih di dunia termasuk Shengjing dan Shanghai, mereka ada bandar pintar terbesar di dunia.

“Ada lampu trafik pintar, rumah pintar, pengurusan sisa pepejal pintar, macam-macam inisiatif,” katanya lagi.

Menurutnya, apabila Malaysia-China mencapai kata sepakat mesyuarat dua hala dengan Menteri Perumahan China, Ni Hong susulan perjanjian persefahaman yang termeterai antara dua negara itu minggu lepas.

“Kita akan pastikan apa-apa yang dipersetujui akan disusuli dengan tindakan yang boleh membawa pulangan dan manfaat besar kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top