July 19, 2024

FDI negara akan rancak semula – TPM

FDI negara akan rancak semula – TPM


NIBONG TEBAL – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi optimis ekonomi negara akan bertambah baik meskipun Malaysia mencatatkan kedudukan di tangga ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024.

Jelas beliau, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) untuk negara pada suku pertama tahun ini membuktikan keyakinan pelabur asing akan kestabilan politik di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita lihat dari segi FDI, ia telah bertambah pada suku pertama tahun 2024 dan tentunya pelabur-pelabur melihat iaitu nombor satu, dari segi kestabilan politik.

“Yang kedua adalah dari segi kemampuan untuk kelulusan sesuatu permohonan projek, terutamanya untuk mengendalikan kilang-kilang di kawasan-kawasan industri.

“Ketiga pula, ia tentang kebolehpercayaan atau keyakinan (pelabur luar) terhadap kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kedudukan Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.

Tambah Ahmad Zahid, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITi), Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi sedang berusaha untuk memberi penjelasan berhubung isu terbabit.

“Penjelasan lanjut mengenainya akan diberikan apabila misi dagangan dilakukan dalam lawatan-lawatan rasmi yang dijalankan oleh menteri, menteri MITI, menteri ekonomi dan juga menteri-menteri yang berkaitan dengan soal ekonomi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia menduduki tempat ke-34 daripada 67 negara dalam WCR 2024 jatuh tujuh anak tangga daripada ranking ke-27 tahun lalu.

Laporan WCR yang dikeluarkan oleh IMD meletakkan Malaysia di tempat keempat dalam kalangan negara Asean selepas Singapura, Thailand dan Indonesia.

Laporan itu turut menyifatkan Malaysia perlu mengejar hampir semua bidang yang dinilai, termasuk prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top