Malaysia mencatat Sejarah apabila menerima kunjungan Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F. Houngbo buat kali pertama sejak penubuhannya pada tahun 1919.
Kunjungan itu bukan sahaja penghormatan besar tetapi satu pengiktirafan dunia terhadap cara Malaysia khususnya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menguruskan tenaga kerja.
Ia juga perakuan dunia terhadap Malaysia sebagai contoh negara harmoni dalan mengurus tenaga kerja sekali gus menjadi bukti keyakinan dunia terhadap model tripartit kita.

“Lawatan ini merupakan lawatan yang sangat bersejarah kerana ia adalah lawatan rasmi pertama oleh Ketua Pengarah ILO ke Malaysia,” kata KESUMA dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, bagi menghargai lawatan berkenaan, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong semalam mengadakan pertemuan santai sambil menikmati makan tengah hari bersama Gilbert serta pemimpin-pemimpin triparti Malaysia melibatkan wakil kerajaan, majikan dan pekerja.
Katanya, sesi tengah hari yang diadakan di Restoran Cili Kampung, Kuala Lumpur itu diserikan dengan jamuan hidangan tempatan termasuk ‘raja buah’ iaitu durian yang menjadi tarikan utama kepada para delegasi ILO.
“Suasana santai dan penuh dengan keakraban ini mencerminkan semangat keterbukaan dan persahabatan yang menjadi asas hubungan Malaysia-ILO sejak sekian lama.
“Pertemuan ini turut disertai oleh wakil kerajaan, pekerja dan majikan yang menyerlahkan semangat saling menghormati dan kepercayaan yang menjadi tunjang kepada kerjasama triparti di Malaysia,” katanya.

Antara yang hadir dalam sesi ‘durian diplomacy’ itu termasuklah Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman; Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor; Naib Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Mohd. Zool Asmani Mahmood serta Setiausaha Bahagian Antarabangsa KESUMA,Raja Mohd Nizam Raja Kamarulbahrin,
Sementara itu KESUMA berkata, dalam pertemuan berkenaan Steven Sim turut memaklumkan hasrat Malaysia untuk menyertai Global Coalition for Social Justice semasa ILC sesi ke-114 tahun 2026. Katanya, Ia merupakan satu inisiatif ILO yang ditubuhkan sejak 2023 bertujuan memperkukuhkan usaha global ke arah keadilan sosial sejagat.

“Penyertaan Malaysia kelak akan menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus melindungi hak pekerja, memperluas jaringan perlindungan sosial dan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).” Katanya.
Hari ini, Gilbert menghadiri Global Skills Forum (GSF) anjuran HRD Corp, sebuah agensi di bawah KESUMA.
Forum ini dijangka menjadi wadah penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam agenda pembangunan kemahiran dan pekerjaan masa depan.