Stigma kesihatan mental halang individu dapatkan bantuan seawal mungkin

Stigma kesihatan mental halang individu dapatkan bantuan seawal mungkin

Stigma kesihatan mental halang individu dapatkan bantuan seawal mungkin


lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Orang ramai mesti mengubah persepsi negatif terhadap perbincangan mengenai isu kesihatan mental selari saranan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Pau Kee berkata, stigma terhadap isu kesihatan mental masih menjadi penghalang utama kepada individu mendapatkan bantuan kerana ramai masih menganggap masalah itu sebagai tanda kelemahan diri.

“Perubahan naratif perlu bermula dengan kefahaman bahawa kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan manusia dan sama penting dengan kesihatan fizikal.

“Ia bukan ukuran kekuatan akhlak, iman atau keperibadian seseorang.

“Kesihatan fizikal dan mental saling mempengaruhi, jika seseorang mengalami masalah kesihatan fizikal, ia boleh menjejaskan kesihatan mental, begitu juga sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas titah Raja Permaisuri Agong, semalam, yang menegaskan stigma terhadap isu kesihatan mental menyebabkan ramai individu memilih untuk memendam penderitaan dan mendapatkan bantuan hanya apabila keadaan menjadi lebih serius.

Dr Pau berkata, masyarakat perlu memahami bahawa kesihatan mental membabitkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, bukannya hanya individu yang dianggap lemah atau berada dalam golongan tertentu.

“Penggunaan bahasa yang tepat juga penting kerana ungkapan seperti ‘gila’, ‘lemah iman’, ‘buat-buat’, ‘pencari perhatian’ atau ‘kurang bersyukur’ boleh melukakan individu yang sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental.

“Apabila kita menggunakan bahasa yang lebih empati dan tidak melabel, individu yang berdepan cabaran kesihatan mental akan lebih selesa berkongsi masalah serta mendapatkan bantuan profesional,” katanya.

Dr Pau berkata, masyarakat juga perlu melihat bantuan psikologi sama seperti rawatan bagi penyakit fizikal seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau penyakit jantung, tanpa rasa malu atau takut dihakimi.

Katanya, akses kepada perkhidmatan kaunselor, ahli psikologi klinikal dan pakar psikiatri perlu dipermudah supaya individu boleh mendapatkan bantuan seawal mungkin sebelum keadaan menjadi lebih serius.

“Sokongan daripada keluarga, majikan dan institusi agama juga penting dengan menyediakan ruang yang selamat kepada individu menjalani proses pemulihan, termasuk memberi kelonggaran atau penyesuaian beban tugas mengikut kemampuan mereka.

“Kita juga perlu mengubah cara bertindak balas apabila seseorang berkongsi kesukaran yang dialaminya.

“Jangan terus menghakimi atau melabel mereka, sebaliknya hargai keberanian mereka untuk berkongsi dan tawarkan sokongan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top