KUALA LUMPUR: Hari kedua Persidangan Dewan Rakyat esok akan tertumpu kepada strategi pembaharuan menyeluruh untuk melindungi reputasi dan integriti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).
Perkara itu akan dibangkitkan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menerusi Aturan Mesyuarat Sidang Dewan Rakyat itu juga menyaksikan Wong Chen (PH-Subang) pula akan meminta Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk menyatakan apakah saranan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ke arah memerangi kenaikan kos sara hidup seperti diterbitkan di bawah laporan Indikator Kos Sara Hidup terkini.
Sementara itu, Mohd. Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) meminta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad untuk menyatakan keberhasilan awal kajian yang dijalankan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Mohd Hasnizan ingin tahu bagaimana teknologi tersebut digunakan dalam membantu pakar perubatan radiologi mengesan penyakit khusus seperti kanser dan bagaimana AI dapat menurunkan kos rawatan jangka panjang bagi pesakit serta Kementerian Kesihatan.
Selepas sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan, persidangan akan diteruskan dengan menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang bermula hari ini.
Berdasarkan takwim melalui laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 18 hari dengan perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 3 Februari hingga 7 Mac. – UTUSAN