Bangkok: Sepasang suami isteri di Thailand dikejarkan ke hospital pada 8 November kerana mengalami sesak dada dan sukar bernafas selepas mengambil suplemen otak dari sebuah klinik swasta berhampiran Bangkok.
Memetik Thaiger, pusat kecemasan Hospital Samut Prakan menerima panggilan melalui talian 1669 sekitar tengah malam, memaklumkan pasangan itu mengalami sakit dada dan sesak nafas.
Susulan itu, pasukan penyelamat tiba di pangsapuri mereka di Soi Bearing 12, daerah Samrong Nuea dan segera memberikan pertolongan cemas sebelum membawa mereka ke hospital.
Pasangan itu dikenal pasti sebagai Krin, 45, dan Khemjira, 44.
Difahamkan, kedua-duanya dilaporkan mengalami muntah, sakit dada, pernafasan laju dan kegelisahan.
Dalam pada itu, anak perempuan mereka berkata, dia baru-baru ini membeli suplemen otak dari klinik swasta dan memberikan kepada ibu bapanya untuk dicuba.
Kata anak pasangan berkenaan, mereka masing-masing mengambil satu pil dan kemudian mengalami simptom berkenaan.
Suplemen itu dilaporkan membantu meningkatkan fungsi otak dan sering diberi kepada pesakit yang pulih daripada strok, kecederaan otak, dementia atau kehilangan ingatan.
Sementara itu, doktor kini memantau keadaan pasangan itu dan menyiasat sama ada simptom berkenaan disebabkan oleh kesan sampingan suplemen atau faktor lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd





