Sudah 10 tahun tidak beraya di kampung

Sudah 10 tahun tidak beraya di kampung


norhayati_nordin@hmetro.com.my

BERBANDING drama, kini nama Beto Kusyairy, 46, pastinya cukup ‘mekar’ di layar perak. Apatah lagi, tawaran membintangi filem diterimanya umpama ‘back to back’ dengan bermacam genre.

Terbaharu, Beto akan muncul dengan filem Gayong 2 di pawagam pada 9 April depan sebagai watak mahaguru silat gayong negara iaitu Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman atau lebih dikenali ADMAR.

Sudah dua dekad aktif sebagai pelakon sejak 2001, Beto atau nama sebenar Nur Kusyairy Zakuan Osman turut didapati semacam berubah arah apabila lebih kerap membintangi filem berbanding drama televisyen.

Mengulasnya, Beto yang digelar ‘hero Malaya’ tidak menafikan perkara itu dan menjelaskan bahawa kini dia memang menerima banyak tawaran berlakon filem yang disifatkan lebih memberi kepuasan.

“Itu tawaran yang saya dapat (filem). Tetapi, bukanlah nak kata saya sudah pinggirkan televisyen (TV). Bagaimanapun, kalau dapat projek untuk berlakon di TV pun, saya sangat selektif.

“Saya bukan buat (nak berlakon) untuk sekadar buat sahaja atau pun nak kejar ‘job’ semata-mata, tetapi saya nak buat benda-benda yang boleh beri saya kepuasan.

“Kalau ada skrip yang bagus untuk TV, memang tak ada masalah saya terima. Namun, sekarang ini kebanyakan projek akan datang saya adalah berlakon filem. Jadi, saya bersyukur saja,” ujarnya.

Berbicara mengenai perkembangan industri perfileman tanah air, pelakon drama Juvana dan Jangan Ambil Padang Kami ini berkata, dia melihat jelas berlakunya peningkatan makin ketara.

“Industri filem kita, saya lihat semakin meningkat jelas. Macam daripada sudut pelakon pun, saya nampak ada ramai bakat baharu yang berpotensi. Begitu juga dari sudut skrip dan penceritaannya.

“Boleh dikatakan jalan cerita lebih menarik dan padat. Tidak lagi terarah kepada satu genre atau benda biasa kita tengok. Sekarang lebih meluas. Alhamdulillah, satu peningkatan yang sangat-sangat saya suka,” jelasnya.

Menyentuh soal penerimaan penonton pula, Beto menyifatkan kita mungkin masih belum ada formula tertentu untuk mengenalpasti cita rasa sebenar cerita yang macam mana betul-betul disukai.

“Berhubung penerimaan penonton, itu saya tak boleh nak cakap. Sebab saya tengok sekarang, kita tiada formula itu. Kalau dulu katakan kita letak pelakon yang popular dan top, ia menjadi.

“Tetapi di era ini, benda (konsep) itu tidak menjamin apa-apa. Saya pun tak boleh cakap apa formula sekarang ini.

Kalau saya cakap macam filem Imaginur, kita tak ada pasukan pemasaran yang kuat, tetapi boleh pergi pula (diterima penonton).

“Bagaimanapun, saya tetap percaya bahawa penonton sekarang lebih bijak untuk menerima karya yang terbaik dan berkualiti. Jadi, kita sebagai penggiat seni terus usaha buat filem yang bagus,” katanya.

Berkongsi pula kisah filem Gayong 2 yang juga sekuel Gayong pada tahun lalu, Beto memaklumkan jalan cerita mengenai kehidupan ADMAR atau Meor dipersembahkan berkisar selepas perang dunia kedua.

“Untuk Gayong 2 kali ini, ia mengisahkan Meor yang berkhidmat sebagai polis di Singapura. Ia memaparkan sisi diri beliau (Meor) yang lebih tegas dari sudut personaliti untuk membanteras kegiatan jenayah kongsi gelap pada waktu itu.

“Meor sangat komited dengan tanggungjawab tugas digalasnya. Jadi dalam sekuel kedua ini, kita lebih menjurus kepada konflik-konflik dihadapi Meor dalam kerja dan masanya bersama keluarga.

“Selain itu, filem Gayong 2 ini juga boleh dikatakan kisahnya lebih banyak drama dan agak berat. Ada aksi silat yang banyak dan lebih ‘brutal’ (ganas) daripada Gayong pertama dulu,” ujarnya.

Menurut Beto, apapun dia mengharapkan penonton tidak lagi melepaskan peluang untuk menonton tayangan Gayong 2 di pawagam nanti, sekali gus karya biopik ini berjaya mencatat kutipan ‘box-office’ filem tempatan.

Katanya, bagaimanapun dia gembira apabila filem Gayong ditayang pawagam tahun lalu berjaya meraih kutipan ‘pecah panggung’ melebihi RM5 juta yang dibintanginya, Nabila Huda, Syafie Naswip dan ramai lagi.

10 tahun tak beraya di kampung

Tidak menafikan ada perasaan rindu balik beraya di kampung, Beto berkata mengambil kira keadaan bapanya yang sudah tua dan kurang sihat menyebabkan lebih baik meraikan Aidilfitri di ibu kota.

“Kalau dulu, kira-kira 10 tahun yang lepas saya sekeluarga akan balik beraya di kampung di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sebab abah saya orang sana, tetapi sudah menetap di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, memandangkan keadaan orang tua yang sudah tidak berapa sihat sekarang, jadi kita putuskan beraya di ibu kota sahaja. Saya pun dah beberapa tahun raya di sini (Kuala Lumpur).

“Begitu juga dengan persiapan raya, memang ringkas saja. Ini kerana, sambutan beraya dari dulu sampai sekarang sebenarnya lebih kepada untuk budak-budak. Sementara kita pula, hanya nak tengok mereka ‘happy’,” katanya.

Ujar Beto lagi, apa yang penting dan paling utama setiap kali kehadiran hari raya Aidilfitri ialah ada lebih masa bersama keluarga. Jelasnya, ikatan kekeluargaan itu yang menjadi fokus apabila dapat kumpul bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top