'Sudah 6 kali rumah dilanda banjir, kami dah terlalu penat'

'Sudah 6 kali rumah dilanda banjir, kami dah terlalu penat'


hifzuddin@bh.com.my

Pendang: Masalah saliran air yang tidak diselenggara menyebabkan rumah didiami tiga beranak di Kampung Baloh, Bukit Jenun dekat sini, mengalami banjir kilat enam kali sejak Jun lalu.

Keadaan tambah memeritkan pada musim hujan ketika ini, apabila rumah yang dibina lebih 60 tahun lalu, dinaiki air tiga kali pada bulan ini, termasuk yang terakhir kelmarin.

Hasnah Ahmad, 64, berkata masalah banjir kilat bermula selepas kerja menurap jalan mini tar di hadapan rumahnya Mac lalu, mengakibatkan saliran air menjadi sempit.

Dalam kejadian pertama yang berlaku pada 16 Jun lalu, rumahnya dinaiki air kira-kira 0.5 meter akibat limpahan air dari saliran yang terletak bersebelahan kediaman.

“Ketika kejadian itu saya tidak berada di rumah, jiran yang menyedari air masuk ke rumah membantu mengangkat perabot dan perkakas.

“Namun apabila pulang ke rumah, banyak peralatan rosak.

“Kali kedua dan ketiga banjir berlaku pada 10 dan 12 September ketika hujan lebat, tak sampai 15 minit air memenuhi rumah dan kami tak sempat berbuat apa kerana limpahan terlalu cepat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hasnah berkata, banjir akibat limpahan air dari saliran turut berlaku pada 3 dan 13 Oktober lalu, serta Khamis lalu, menyebabkan dia menjadi terlalu letih untuk membersihkan rumah.

Katanya, dia tinggal di rumah berkenaan bersama anak lelakinya, Azman Omar, 43 yang juga orang kelainan upaya (OKU) dan seorang cucu lelaki ketika ini.

“Hampir semua perabot dan peralatan rumah terpaksa dibuang, kabinet di dapur hampir roboh.

“Setiap kali cuaca hujan saya dan anak memang bimbang rumah dimasuki air.

“Masalah ini sudah kami laporkan kepada pihak berkuasa, malah polis yang menerima laporan turut terkejut kerana kawasan kami tidak pernah banjir,” katanya.

Hasnah berkata, wakil Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa lain ada mengunjungi rumahnya selepas kejadian pertama, namun tiada tindakan diambil setakat ini.

Berikutan itu, dia meminta kerja menyelenggara dan mendalamkan saliran dapat dilakukan segera bagi mengelak kejadian banjir kilat melanda setiap kali musim hujan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top