September 8, 2024

Sukan Olimpik: RM5 juta menanti pemenang pingat emas sulung negara

Sukan Olimpik: RM5 juta menanti pemenang pingat emas sulung negara


KUALA LUMPUR – Atlet negara yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 berpeluang meraih habuan wang tunai sebanyak RM5 juta sekiranya berjaya memenangi pingat emas sulung kontinjen Malaysia di temasya terbesar dunia itu.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkata, ini kerana Yinson Holdings Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad dan juga MJ Health Screening Centre menjadi syarikat terbaru tampil menjanjikan habuan lumayan sekali gus menyuntik semangat 26 atlet yang akan berjuang di Paris.

“Yinson Holdings Berhad akan menyumbang sebanyak RM1 juta manakala Matrix Concepts Holdings Berhad dan juga MJ Health Screening Centre masing-masing akan memberikan sejumlah RM500,000.

“Justeru, jumlah keseluruhan adalah RM2 juta yang bakal diterima bagi atlet yang memenangi pingat emas pertama Malaysia di Paris.

“Sekiranya lebih daripada seorang atlet memenangi pingat emas pertama, wang akan dibahagikan sama rata antara pemenang pingat emas pertama berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam kenyataan sama berkata, penajaan itu akan membakar semangat atlet bagi mencapai sasaran memenangi emas sulung Malaysia di Sukan Olimpik.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penaja di atas tajaan yang diberikan dan kepercayaan bahawa atlet Malaysia mampu untuk membawa pulang emas pertama buat negara.

“Saya yakin semua atlet akan berusaha memberikan yang terbaik di bumi Paris nanti,” katanya.

Sebelum ini, pengendali rangkaian mudah alih redONE Mobile (redONE) menawarkan RM1 juta kepada atlet Malaysia yang berjaya membawa pulang emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang mana ia akan dibayar secara ansuran bulanan dalam tempoh 10 tahun untuk memastikan sokongan jangka panjang kepada atlet berkenaan.

Pemenang pingat itu turut mendapat penghormatan menjadi duta redONE selama empat tahun sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Namun sekiranya terdapat lebih daripada seorang pemenang, hadiah berkenaan akan dikongsikan bersama.

Senheng New Retail Bhd (Senheng) turut menyediakakan hadiah wang tunai RM1 juta kepada tiga pemain badminton negara, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie yang pernah berada di bawah Program Bakat Badminton SS dari 2012 hingga 2016 jika mereka berjaya meraih emas.

Sekiranya ada lebih daripada satu pemenang, wang tunai berkenaan akan dikongsikan sama rata antara mereka.

KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) turut menyediakan insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan pemenang emas Sukan Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).

Atlet turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa bernilai RM2,000.

Selain wang tunai, atlet yang memenangi emas turut akan membawa pulang sebuah pangsapuri mewah di Setia Alam bernilai RM1 juta yang disumbangkan Tan Sri Dr Lim Wee Chai yang Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove serta pemilik Top Residency.

Pengeluar kereta dari China, Chery Malaysia turut tampil dengan hadiah kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top