Sukan SEA 2025 pentas terbaik tebus duka skuad B-23

Sukan SEA 2025 pentas terbaik tebus duka skuad B-23


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tempoh kira-kira tiga bulan lagi sebelum tirai Sukan SEA 2025 dibuka bakal menjadi penentu penting buat skuad bawah 23 (B-23) negara untuk menebus kekecewaan yang membelit pasukan itu sepanjang tahun ini.

Harimau Malaya B-23 tumbang di peringkat kumpulan Piala ASEAN di Jakarta, Julai lalu sebelum sekali lagi dikecewakan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2026 di Bangkok.

Anak buah Nafuzi Zain hanya menamatkan saingan Kumpulan F di tangga ketiga selepas tewas 0-1 kepada Lubnan, bangkit membelasah Mongolia 7-0 tetapi kembali kecundang 1-2 kepada tuan rumah Thailand.

Rentetan keputusan itu, Sukan SEA di Thailand pada Disember depan muncul pentas terakhir skuad muda negara menutup kalendar 2025 dengan sesuatu yang lebih manis.

Bekas pengendali kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan mengingatkan semua pihak agar segera melakukan proses baik pulih menyeluruh jika mahu melihat pasukan belia negara kembali disegani.

“Setiap kekalahan mesti ada puncanya. Pihak yang bertanggungjawab kena buat sesuatu, duduk di meja besar dan bincang apa yang patut dibuat. Itu yang penting.

“Bukan masa nak menuding jari sana sini, tapi kena duduk semeja dan bincangkan bagaimana hala tuju pasukan muda negara,” katanya.

Menurutnya, kelemahan utama jelas kelihatan pada intensiti permainan pemain muda Malaysia yang dianggap terlalu rendah berbanding seteru serantau.

“Saya tengok pemain belia kita main dengan intensiti rendah, pergerakan bola lambat dan hantaran pun lambat. Tenaga atau fizikal pun tak sampai tahap sepatutnya.

“Sekurang-kurangnya kita kena ada tanda aras dengan corak permainan moden iaitu hantaran pantas, larian pantas bila menyerang dan bertahan.

“Cuba tengok Thailand, Vietnam, Indonesia. Mereka bermain pantas dan agresif. Saya pun terfikir-fikir apa nak jadi pemain kita ini,” katanya lagi.

Wan Jamak turut menekankan pembangunan akar umbi tidak boleh hanya bergantung pada kelab tertentu.

“Takkan kita nak harapkan Johor sahaja. Pihak berkaitan kena fikir macam mana nak naikkan kualiti pemain muda kita ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Nafuzi tetap melihat ada sinar dalam skuad mudanya biarpun gagal mara ke pentas Piala Asia di Arab Saudi tahun depan.

Mengakui jurang permainan dengan Thailand atau Indonesia tidak jauh berbeza, Nafuzi percaya jika persiapan terbaik dilakukan, Harimau Malaya B-23 mampu meraih pingat di Sukan SEA nanti.

“Memang ada peningkatan ditunjukkan pada kelayakan Piala Asia tempoh hari. Kalau kami terus bekerja keras dan diberi ruang cukup untuk persediaan, saya yakin kami boleh bersaing dan bawa pulang sesuatu di Bangkok,” kata jurulatih berusia 47 tahun itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top