Sukan SEA 2027: Penglibatan empat negeri kurangkan kos Persekutuan

Sukan SEA 2027: Penglibatan empat negeri kurangkan kos Persekutuan


SUBANG JAYA- Temasya Sukan SEA 2027 yang melibatkan penganjuran bersama Kuala Lumpur dan tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang dilihat mampu mempromosikan kepelbagaian budaya negara ini.

Legenda olahraga negara Datuk Marina Chin berkata selain mampu mempromosikan budaya Malaysia ia juga dilihat dapat mengurangkan kos kerajaan Persekutuan dalam menganjurkan temasya dwitahunan itu.

“Saya rasa ini adalah idea yang bagus kerana negeri terlibat dapat menonjolkan keistimewaan masing-masing dan membantu kerajaan untuk jadi tuan rumah (Sukan SEA).

“Masalah kita juga akan berkurang, lagi pula tidak perlulah semua berkumpul di satu tempat kerana nanti akan ada masalah logistik, dengan lalu lintas dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Konvoi Jiwa Merdeka Subang Jaya 2024 di sini hari ini.

Khamis lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju untuk menjadi tuan rumah bersama-sama Kuala Lumpur bagi penganjuran Sukan SEA 2027 yang dianggarkan menelan kos RM700 juta.

Hannah menjelaskan kos itu tidak ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tetapi dibantu tiga negeri dengan Sarawak menjadi penyumbang terbesar iaitu RM300 juta, Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta.

Sementara itu, program Konvoi Jiwa Merdeka Subang Jaya yang berlangsung di sini dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menampilkan tujuh bekas atlet negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Selain Marina dan Datuk Zaiton Othman daripada sukan olahraga, turut hadir bekas pemain badminton Goh Liu Ying, Datuk Foo Kok Keong dan Datuk Rashid Sidek; Datuk Dollah Salleh (bola sepak) dan Datuk Malek Noor (bina badan).

Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata beliau gembira dengan sambutan yang diberikan pengunjung pada majlis berkenaan.

“Kita juga mengadakan aktiviti rahmah mesra bersama legenda sukan berkenaan dan ini bakal membantu bagi memupuk semangat kesukanan bagi warga emas,” katanya.

— BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top