KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) mengekalkan insentif kecemerlangan sebanyak RM20,000 untuk dikongsi secara bersama oleh mana-mana atlet yang memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, insentif berkenaan dikekalkan bagi memberi cabaran kepada semua atlet mempamerkan aksi terbaik pada edisi keenam ini yang berlangsung 6 hingga 14 September depan.
“Insentif ini dikekalkan kerana sejak temasya SUKIPT diadakan, belum ada seorang pun atlet yang mampu memecahkan rekod kebangsaan dalam acara dipertandingkan.
“Oleh itu saya cabar kontinjen-kontinjen dan atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik dan merebut peluang keemasan ini,” katanya.
Teks ucapan Zambry itu dibacakan oleh Timbalan Menteri KPT, Datuk Mustapha Sakmud pada Majlis Pelancaran SUKIPT 2024 di UUM, Changlun pada Rabu.
Hadir sama Naib Canselor UUM, Datuk Dr Mohd Foad Sakdan.
“Selain itu, pemain yang berjaya melakukan ‘Hole In One’ bagi sukan Golf juga ditawarkan wang tunai berjumlah RM1,000,” ujarnya.
Tambah beliau, SUKIPT 2024 juga akan diperhebatkan dengan aktiviti sampingan yang melibatkan Karnival Sambutan 40 Tahun UUM, Karnival Keusahawanan dan seminar kerjaya.
Jelasnya, aktiviti ini akan memberi ruang kepada seluruh penggiat sukan di negara ini untuk terlibat sama dengan penganjuran SUKIPT.
INFO
Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2024
Tarikh: 6 hingga 14 September
Acara
28 acara sukan
Venue
23 gelanggang
Pingat Emas
233 pingat emas
Kontinjen
74 kontinjen
Universiti Awam
20 buah
Universiti Swasta
44 buah
Institut Pendidikan Guru Malaysia
Tujuh buah
Politeknik
Satu
Kolej Komuniti
Satu
Kolej Vokasional
Satu
Atlet
Lebih 6,000 orang
Pegawai
2,500 orang
Sukarelawan
Lebih 400 orang
OR