Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita terhadap isu banjir di negeri itu yang masih gagal ditangani secara berkesan meskipun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini.
Isu tak diberi perhatian sewajarnya
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, baginda bertitah, masalah tersebut terus berulang terutama di kawasan perumahan sehingga menyusahkan rakyat dan menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan langkah yang diambil.
Menurut baginda, kerajaan negeri sebelum ini pernah disarankan agar merujuk pakar dari luar negara termasuk Belanda bagi mencari penyelesaian terbaik, namun perkara itu tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Namun malangnya, nasihat beta tidak dipeduli dan tidak diambil berat, diibaratkan seperti ‘mencurah air ke daun keladi’ sahaja.
“Beta difahamkan bahawa setiap tahun akan ada peruntukan dari belanjawan negeri bagi mengatasi masalah banjir namun tiada hasil berkesan yang dapat dilihat sehingga ke hari ini,” titahnya sempena Istiadat Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Nasihat kerajaan negeri beri fokus kepada isu tersebut
Sehubungan itu, baginda menasihatkan agar kerajaan negeri memberi fokus utama terhadap isu berkenaan dengan melaksanakan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang secara lebih menyeluruh.
Dalam masa sama, baginda turut menekankan keperluan membersihkan Sungai Klang bagi memastikan bekalan air bersih terus terjamin seiring pertambahan populasi.
“Beta tidak akan jemu untuk terus bertitah agar tindakan diambil sehingga masalah banjir dan bekalan air bersih ini diselesaikan dan ditamatkan ‘once and for all’,” titah baginda.

Tindakan tegas kepada kilang-kilan gagal urus sisa
Baginda turut mengingatkan agar tindakan tegas diambil terhadap kilang-kilang yang gagal menguruskan sisa dengan baik, khususnya yang beroperasi tanpa kelulusan kerana boleh menyebabkan pencemaran sungai.
“Tindakan keras harus diambil terutamanya kepada kilang yang didapati beroperasi tanpa kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” titahnya.

Sumber: Utusan Malaysia (Mohamad Athir bin Ismail)






