KUALA LUMPUR – Lelaki yang melepaskan tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 14 April telah membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta di Kelantan kerana merancang untuk bekerja di Arab Saudi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar berkata, siasatan polis mendapati suspek, Hafizul Hawari, 38, membuat pemeriksaan tersebut seminggu sebelum insiden di KLIA berlaku.
“Dipercayai dia telah ke Kelantan selepas kejadian untuk mendapatkan laporan kesihatan itu dan terus merancang mengambil penerbangan,” katanya ketika ditemui di Masjid Negara, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, suspek membaling mercun mencederakan dua orang awam sebelum menghampiri isterinya dan melepaskan dua das tembakan ke arah wanita itu.
Salah satu tembakan tersasar manakala satu lagi terkena salah seorang pengawal peribadi mangsa.
Pada Isnin lalu, suspek berjaya diberkas di Kota Bharu, Kelantan dan beliau direman seminggu di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada pagi Selasa lalu.
Menurut Hussein, tempoh reman suspek akan tamat pada Isnin ini dan pihaknya akan melanjutkannya selama tujuh hari dan lelaki itu dijangka dituduh dimahkamah dalam tempoh lanjutan reman itu.
Tambah beliau, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan akan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk pertuduhan. – MalaysiaGazette