am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian tembakan terhadap anak seorang peneroka di Felda Kemahang di sini semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek ditahan tidak lama selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu.
“Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di kawasan Lalang Pepuyu petang semalam.
“Suspek direman bagi membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Yusoff berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Beliau berkata, polis juga sudah mengenal pasti empat lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian tembakan itu dan sedang giat mengesan mereka.
Terdahulu, media melaporkan seorang anak peneroka Felda cedera selepas ditembak sekumpulan lelaki yang dipercayai penyeludup lembu dalam cubaan mencuri di Kemahang 1, semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa yang berusia 40-an dilaporkan sedang tidur apabila sekumpulan antara empat hingga lima lelaki memasuki kampung dan cuba mencuri lembu milik penduduk.
© New Straits Times Press (M) Bhd






