Syafiq tolong 'bayarkan' hutang KDA FC

Syafiq tolong 'bayarkan' hutang KDA FC



mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman (KDA) FC bermula dengan senyuman pada saingan Liga Super musim ini apabila berjaya menyelesaikan ‘hutang’ tiga mata selepas menumpaskan PDRM FC 1-0 dalam di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Skuad Sang Kenari memulakan saingan liga musim ini dengan mata negatif tiga selepas dikenakan pemotongan tiga mata oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) susulan isu tunggakan gaji.

Tonggak KDA FC, Syafiq Ahmad boleh diangkat sebagai hero apabila membantu pasukannya menumpaskan tuan rumah seawal minit pertama perlawanan.

Syafiq yang juga pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) juga berpeluang memahat nama sebagai penjaring gol terpantas musim ini selepas menyumbat gol dalam tempoh 33 saat saja.

PDRM cuba bangkit dengan beberapa gerakan untuk memburu gol penyamaan, namun gagal membuahkan hasil yang menyaksikan babak pertama berakhir dengan kelebihan satu gol memihak KDA.

Permukaan padang becak akibat hujan jelas menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan yang bergelut untuk mencipta gerakan lebih menarik terutama sepanjang babak kedua.

Tanpa sebarang tambahan jaringan, gol tunggal daripada Syafiq sudah cukup untuk KDA membawa pulang tiga mata berharga dari gelanggang lawan.

Pada 5 April lalu, badan bebas First Instance Body (FIB) mengumumkan KDA dikenakan hukuman pemotongan tiga mata dan denda RM50,000 susulan kegagalan kelab terbabit membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top