Syahmi bersyukur kembali sertai Harimau Malaya

Syahmi bersyukur kembali sertai Harimau Malaya


sukan@hmetro.com.my

Sepang: Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari menganggap peluang kembali menyertai skuad kebangsaan selepas lebih dua tahun sebagai rezeki terbaik dalam kariernya.

Bagi Syahmi, dia bersyukur kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk berada dalam kem Harimau Malaya dan menyifatkan panggilan itu hadir pada waktu paling tepat.

“Memang rasa bersyukur dan rezeki saya dapat kembali bersama skuad kebangsaan selepas lebih daripada dua tahun.

“Ini waktu dan peluang terbaik buat saya,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Bangkok, hari ini.

Untuk rekod, kali terakhir pemain kelahiran Selangor itu menyertai kem Harimau Malaya adalah pada Januari 2024 sewaktu kempen Piala Asia 2023 di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Selain Syahmi, Feroz Baharudin juga antara muka baharu yang dipanggil untuk menguatkan pertahanan skuad negara.

Kehadiran semula Syahmi pastinya memberi nilai tambah buat skuad negara, terutama dengan pengalamannya di pentas tertinggi bola sepak tempatan bersama JDT.

Pemain berusia 28 tahun itu dilihat mampu menjadi antara sandaran utama di benteng pertahanan pasukan negara, lebih-lebih lagi ketika Harimau Malaya sedang giat memperkemaskan persiapan bagi menghadapi Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 Mac ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top