T-Rex lancar ‘Anak Borneo’, luahan rindu terhadap tanah kelahiran

T-Rex lancar ‘Anak Borneo’, luahan rindu terhadap tanah kelahiran

T-Rex lancar ‘Anak Borneo’, luahan rindu terhadap tanah kelahiran


KUALA LUMPUR: Selepas tampil dengan beberapa karya baharu sepanjang tahun ini, bekas vokalis kumpulan Kamikaze, T-Rex, kembali mencuri perhatian menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul Anak Borneo, sebuah karya yang sarat dengan elemen nostalgia, kecintaan terhadap budaya serta kerinduan mendalam terhadap tanah kelahirannya.

Sebelum ini, T-Rex telah melancarkan EP solo pada awal tahun, diikuti single sempena Tahun Baharu Cina berjudul Rock in the Horse Year dan lagu Hari Raya, Memori Hari Raya.

Menurut T-Rex, Anak Borneo merupakan karya yang paling dekat di hatinya kerana impian untuk menghasilkan lagu tersebut telah disimpan selama lebih 25 tahun sepanjang penglibatannya dalam industri muzik.

Dilahirkan di Kuching, Sarawak, T-Rex mempunyai darah campuran Cina dan pribumi tempatan. Neneknya berasal daripada komuniti asal Borneo, sekali gus menjadikan beliau cukup dekat dengan budaya, alam semula jadi dan identiti masyarakat di wilayah tersebut.

Lagu Anak Borneo diinspirasikan daripada keindahan hutan, sungai, budaya rumah panjang serta kehidupan masyarakat pribumi yang menjadi sebahagian daripada latar kehidupannya sejak kecil.

Menerusi karya itu, beliau mengangkat kisah seorang perantau yang sentiasa terikat dengan tanah asal dan tidak pernah melupakan akar budaya serta warisan yang membentuk jati dirinya.

Anak Borneo bukan sekadar sebuah lagu. Ini adalah karya yang saya simpan selama 25 tahun. Walau sejauh mana saya merantau, jiwa dan memori tentang Borneo sentiasa hidup dalam diri saya.

“Saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati mereka yang turut merindui kampung halaman dan tanah asal masing-masing,” katanya.

Single berkenaan turut menyaksikan kerjasama berterusan antara T-Rex dan penerbit muzik, Melissa Ng. Selepas beberapa projek sebelum ini, kedua-duanya sekali lagi bergabung bagi meneruskan keserasian kreatif yang telah terjalin.

Dalam penghasilan lagu tersebut, Melissa menampilkan susunan muzik moden yang diperkaya dengan elemen sinematik dan lapisan emosi yang mendalam, sekali gus berjaya menerjemahkan semangat Borneo ke dalam sebuah karya kontemporari.

Bagi melengkapkan pelancaran single itu, video muzik rasmi Anak Borneo turut diterbitkan dengan penggambaran dijalankan di beberapa lokasi alam semula jadi di Selangor.

Video muzik tersebut menampilkan pelbagai elemen budaya Borneo termasuk pakaian tradisional etnik serta visual sinematik yang membawa penonton menghayati mesej dan emosi lagu dengan lebih dekat.

Malah, gabungan keindahan alam semula jadi, budaya serta penceritaan visual yang menyentuh perasaan menjadikan karya tersebut seolah-olah membawa penonton kembali menelusuri suasana kampung halaman di Borneo.

Anak Borneo kini boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital bersama tayangan video muzik rasminya yang telah dilancarkan serentak.



Source link

OR

Scroll to Top