Tahun Baharu Cina: Aliran trafik lancar

Tahun Baharu Cina: Aliran trafik lancar



rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, susulan orang ramai sudah memulakan perjalanan ke destinasi masing-masing secara berperingkat sejak Sabtu.

Berdasarkan tinjauan trafik setakat 2 petang ini mendapati keadaan lalu lintas lancar di sepanjang lebuh raya bagi kedua-dua arah masuk dan keluar ibu kota.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi aplikasi X melaporkan keadaan lalu lintas menuju arah utara, selatan dan pantai timur masih terkawal.

Beberapa laluan ‘Smartlane’ diaktifkan di Lebuhraya Utara Selatan termasuk arah utara di Pedas Linggi ke Senawang; Port Dickson ke Seremban dan Putra Mahkota ke Southville City.

Trafik juga dilaporkan lancar di kedua-dua arah di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Bagaimanapun, trafik dilaporkan perlahan di Lebuhraya Utara Selatan berikutan kemalangan di KM436.0 arah utara dari Rawang ke Sungai Buaya.

Selain itu, aliran trafik perlahan turut dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah Selatan dari Bandar Saujana Putra ke Bandar Gamuda Cove dan arah utara dari Bidor ke Tapah.

Terdahulu, media melaporkan LLM menjangkakan aliran trafik meningkat di lebuh raya utama dari ibu kota menghala keluar ke utara, timur dan selatan bermula pada 24 hingga 28 Januari sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 29 Januari ini.

LLM dalam kenyataan memaklumkan, susulan peningkatan itu, sebanyak 2.6 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top