Tajaan korporat lonjak sepak takraw

Tajaan korporat lonjak sepak takraw


Di sebalik sorakan bergema di gelanggang dan aksi akrobatik memukau pemain muda serta veteran, terselit satu perkembangan yang mungkin lebih besar maknanya buat sepak takraw negara, iaitu semakin banyak pihak korporat mula melihat potensi sukan tradisi itu untuk terus berkembang.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS), Wan Mohd Husni Abdullah menyifatkan penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Belia Tertutup Negeri Sembilan 2026 dan Veteran 140 Terbuka Negeri Sembilan 2026 sebagai satu langkah tepat yang bukan sahaja menghidupkan persaingan, malah membuka ruang lebih luas kepada pembangunan bakat baharu.

Menurutnya, kejohanan yang menghimpunkan kategori belia dan veteran itu berjaya mencapai objektif utama, iaitu memperluaskan penyertaan serta mengukuhkan ekosistem sepak takraw di peringkat akar umbi.

“Kita berterima kasih kepada Alumni STJ 1783 dan pastinya McDonald’s Malaysia sebagai penaja utama kerana berjaya menganjurkan kejohanan yang boleh dianggap bertaraf kebangsaan.

“Alhamdulillah, sasaran yang kita mahukan tercapai dan saya harap kerjasama antara McD serta sepak takraw tidak terhenti di sini sahaja,” katanya.

Lebih menarik, kejohanan itu turut menjadi medan pencarian bakat buat persatuan negeri apabila beberapa pemain muda berjaya mencuri perhatian sepanjang pertandingan berlangsung.

Menurut beliau, penyertaan 24 pasukan belia memberi peluang kepada pihaknya mengenal pasti pemain yang mungkin terlepas pandang sebelum ini.

“Kita mahu melihat samaada masih ada bakat yang tercicir di Negeri Sembilan dan ternyata memang ada. Walaupun pasukan Sukma Negeri Sembilan sedang dalam persiapan, kita nampak ada satu atau dua pemain yang mempunyai potensi tinggi dan boleh diketengahkan pada masa depan,” katanya yang turut kagum melihat 48 penyertaan untuk kategori veteran.


WAN Mohd Husni

Selain itu, Wan Mohd Husni percaya kejohanan seperti itu perlu diteruskan secara konsisten kerana ia bukan sahaja menyediakan platform pertandingan, malah membantu proses pencarian bakat yang amat diperlukan dalam pembangunan sukan.

Mengulas pembabitan McDonald’s Malaysia dalam sepak takraw, beliau menganggap usaha syarikat makanan segera itu sebagai petanda positif yang mungkin membuka mata lebih banyak syarikat korporat untuk turut sama menyokong sukan berkenaan.

Katanya, sepak takraw kini berada dalam fasa perkembangan yang memberangsangkan dan mempunyai kelompok penyokong besar, terutama di kawasan luar bandar.

“Apa yang McDonald’s Malaysia lakukan ini adalah satu tindakan tepat. Kita berterima kasih kerana mereka memilih sepak takraw sebagai rakan strategik. Sepak takraw bukan sekadar sukan, ia dekat dengan masyarakat. Ia dimainkan di kampung, di kawasan pedalaman dan menjadi aktiviti yang menyatukan keluarga.

“Bila ada kejohanan seperti ini, kita dapat lihat ibu bapa datang memberi sokongan kepada anak-anak. Itu nilai yang cukup besar untuk sukan ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyambut baik cadangan McDonald’s Malaysia dan Harian Metro untuk memperkenalkan kejohanan peringkat umur secara zon pada masa depan.

Katanya, inisiatif itu mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan pemain muda serta menghidupkan semula suasana pertandingan yang pernah menjadi platform melahirkan ramai bakat negara.

“Saya sudah mendengar mengenai perancangan itu dan memang amat menyokong. Kita harap kejohanan itu dapat dianjurkan termasuk di Negeri Sembilan kerana platform seperti ini sangat penting untuk pembangunan pemain muda dan masa depan sepak takraw negara,” katanya.

Ruang bakat muda serlah kehebatan

Kejohanan Sepak Takraw Belia Tertutup Negeri Sembilan 2026 dilihat sebagai platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu serta memberi peluang kepada pemain muda menonjolkan kemampuan mereka dalam suasana pertandingan kompetitif.

Penolong jurulatih Al Darimi C, Mohd Syazreen Qamar Salehan berkata, penganjuran kejohanan seperti itu memberi ruang kepada pemain yang selama ini kurang mendapat pendedahan untuk menunjukkan potensi sebenar mereka.

Menurutnya, usaha penganjur menyediakan pentas pertandingan khusus buat golongan belia wajar dipuji kerana mampu membantu pembangunan bakat di peringkat akar umbi.

“Untuk kejohanan kali ini, ia sangat baik terutama kepada akademi dan pemain belia. Mereka mendapat peluang untuk menonjolkan kemahiran serta kebolehan masing-masing. Ia juga menjadi salah satu inisiatif penting untuk mencungkil bakat baharu yang boleh diketengahkan pada masa depan,” katanya.

Mengulas tahap persaingan, bekas pengumpan kebangsaan itu mengakui kejohanan berkenaan berlangsung dalam suasana kompetitif dengan setiap pasukan menampilkan aksi berkualiti.

Beliau turut berpandangan Malaysia sebenarnya tidak ketandusan pemain berbakat, namun ramai masih kurang berani tampil menyertai kejohanan terbuka untuk menguji kemampuan mereka.

Terdahulu, dalam aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri, Paroi, Ahad lalu, Al Darimi C tidak berdepan masalah untuk muncul juara selepas menewaskan Al Darimi B 15-12, 15-12.

Selaku juara, Al Darimi C membawa pulang piala pusingan, medal dan hadiah wang tunai RM1,500, manakala Al Darimi B menerima medal serta wang tunai RM1,000.

Sepak takraw veteran bukan sekadar mengimbau kenangan lama

Jika ada yang menganggap sepak takraw veteran sekadar pentas mengimbau kenangan lama, mereka silap.

Di gelanggang Kejohanan Sepak Takraw Veteran 140 Terbuka Negeri Sembilan 2026, semangat juang yang dipamerkan pemain berpengalaman membuktikan usia hanyalah angka, manakala keghairahan memburu kemenangan masih membara seperti zaman muda.

Antaranya pasukan FZR Bundle B dari Kelantan yang sanggup menempuh perjalanan hampir lapan jam sebelum menewaskan cabaran 48 regu dari seluruh negara untuk muncul juara kategori veteran.

Tekong FZR Bundle B, Farhan Aziz berkata, kejayaan itu sangat bermakna selepas berdepan saingan sengit daripada barisan pemain yang masih memiliki sentuhan dan kemahiran berkualiti walaupun sudah berusia.

“Alhamdulillah, kami datang dari Kelantan dengan empat pasukan. Ada yang terkandas lebih awal dan ada yang terhenti di separuh akhir, tetapi rezeki berpihak kepada FZR Bundle B untuk muncul juara. Memang bukan mudah kerana semua pasukan yang datang dari seluruh negara sangat kuat,” katanya.

Menurut Farhan yang dipilih sebagai tekong terbaik kejohanan, kategori veteran kali ini turut membuktikan pemain berusia masih mampu menampilkan aksi mengagumkan di gelanggang.

Malah, dirinya mendedahkan salah seorang rakan sepasukannya yang bertindak sebagai pengumpan sudah berusia 62 tahun, namun masih mampu menampilkan permainan seperti orang muda.

Pada masa sama, Farhan memuji inisiatif McDonald’s Malaysia yang tampil menyokong pembangunan sepak takraw menerusi penganjuran kejohanan membabitkan kategori belia dan veteran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top