KUALA LUMPUR – Tajikistan menamatkan kempen Pestabola Merdeka 2024 di tempat ketiga selepas menewaskan Filipina 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Pada perlawanan penentuan hari ini, kedua-dua pasukan ternyata kental di sebalik peluang menjaringkan gol sehingga mereka terikat 0-0 selepas tamat masa perlawanan.
Pada penentuan penalti, percubaan pemain Filipina Javier Augustine Gayoso dan Jefferson David Tabinas masing-masing terkena palang sebelum sepakan Alisher Shukurov mengesahkan kejayaan skuad bimbingan Gela Shekiladze.
Terdahulu, gawang Tajikistan hampir dibolosi di awal separuh masa kedua, namun lambungan tinggi pemain tengah Filipina Dylan Demuynck sekadar menyentuh palang.
Pemain tengah Tajikistan, Daler Sharipov hampir memecah kebuntuan gol perlawanan pada minit ke-59 selepas bijak menewaskan penjaga gol Kevin Ray Mendoza, namun rembatannya berjaya dihalang.
Di penghujung perlawanan, penjaga gol Tajikistan Oleg Baklov bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya The Azkals dan perlawanan terpaksa diheret ke penentuan penalti selepas kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat.
Shekiladze berkata beliau bangga dengan anak buahnya dan berharap kejayaan itu akan meningkatkan keyakinan mereka menjelang Piala Raja Thai yang dijadual bulan depan.
“Pada perlawanan ini kami membariskan gabungan pemain baharu dan pemain berpengalaman, ia tidak mudah terutama di peringkat antarabangsa. Saya harap keputusan ini memberikan lebih keyakinan kepada mereka untuk kejohanan seterusnya,” katanya. – BERNAMA