Pengarah drama Madu Atau Racun, Eyra Rahman menegaskan naskhah 12 episod itu tidak menampilkan babak keterlaluan atau ‘daring’, sebaliknya masih tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan.
Berkata kepada Utusan Malaysia, Eyra menyatakan biarpun drama berkenaan ditayangkan menerusi platform penstriman (OTT), setiap pengarah tetap perlu mematuhi batas ditetapkan, termasuk pemantauan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF).
“Sebenarnya, tidak ada ‘daring’ mana pun. Kita tahu banyak babak yang tidak akan lepas. Walaupun ditayangkan di OTT, LPF tetap ada batas-batasnya.
“Apa yang penonton lihat itu hanyalah teknik penggambaran atau ‘cheat shot’ untuk menampakkan babak tersebut seolah-olah realistik.
“Saya sendiri secara peribadi tidak selesa menghasilkan babak yang terlalu berani. Saya sudah maklumkan kepada penerbit dan pihak iQIYI bahawa imej yang saya bawa tidak bersesuaian dengan elemen sebegitu,” katanya.

Eyra berkata, kelonggaran yang diberikan kepada platform OTT tidak bermakna pengarah bebas menghasilkan kandungan tanpa batas, apatah lagi sehingga mencetuskan kontroversi dalam kalangan penonton.
“Memang di OTT ada sedikit kelonggaran, tetapi tidaklah sampai ‘daring’ sangat kerana kita tahu penonton tidak boleh terima dan akan menghentamnya habis-habisan.
“Tambahan pula, karya yang pernah hasilkan sebelum ini pun sudah menerima kecaman daripada penonton kita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Eyra menegaskan dia tidak pernah menjadikan kontroversi sebagai strategi untuk melariskan sesebuah karya, sebaliknya hanya memastikan setiap babak dihasilkan mengikut keperluan skrip.
“Saya ikut skrip. Saya tidak mencipta babak berdasarkan fantasi sendiri. Malah, setiap kali ingin menghasilkan babak sensitif, saya akan bertanya terlebih dahulu sama ada ia boleh melepasi tapisan atau sebaliknya.
“Sebagai pengarah, saya perlu menjaga naskhah supaya tidak tersasar. Kita tahu penonton kita tidak akan menerima jika sesuatu itu keterlaluan.
“Jadi, buat apa saya mencipta kontroversi murahan yang akhirnya hanya mengundang kecaman?”soalnya.

Malah, Eyra mengakui pernah diminta penerbit menghasilkan drama dengan pendekatan lebih berani seperti karya lain, namun permintaan itu ditolaknya kerana tidak mahu Madu Atau Racun dibandingkan dengan karya arahan pengarah lain.
“Pernah juga penerbit meminta saya menghasilkan drama seperti drama lain yang lebih ‘daring’.
“Tetapi saya tolak kerana drama tersebut dihasilkan oleh orang lain. Saya tidak mahu disamakan,” katanya.
Terdahulu, Madu Atau Racun menerima respons pelbagai daripada pengguna media sosial susulan watak Nikita yang digambarkan menyukai kaum sejenis dan berusaha menyelamatkan madunya, Azura, daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Sumber: Utusan Online (Wafa Aula)
