Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri menjelaskan sebab utama menghadiahkan sebuah kereta mewah jenis Porsche 718 Cayman berwarna hitam kepada anak bujang, Ammar Ahyan.
Memetik laporan Kosmo, Aliff nama lengkapnya, Aliff Syukri Kamarzaman berkata, dia enggan dilabel sebagai seorang bapa kedekut dan tidak mahu membiarkan Ammar terkontang-kanting dalam menjaga penampilan dan reputasi sebagai anak seorang ahli perniagaan.
Tak mahu berkira dengan anak
“Kereta mewah supaya nampaklah mewah sikit anak saya. Tak naklah orang fikir, anak selekeh, saya seorang sahaja yang ke depan.
“Dulu saya dah penat bising fasal fesyen, selebih dan rambut dia ‘kembang’ tapi bila (dia) makin besar, saya nampak dia ada kemajuan. Sekarang ada gaya sikit. Saya juga nak orang tahu, bapa dia bukanlah seorang yang kedekut.
“Saya tak nak orang pandang ‘anak jutawan tapi dia menyedihkan’. Saya tak nak begitu,” kata Aliff pada majlis pelancaran beg tangan koleksi AS x Sally Whoo, semalam.
Pelantun lagu Bobo Di Mana itu juga menepis dakwaan mahu memanjakan anak dengan kemewahan sebaliknya menjelaskan segala usaha dan rezeki itu juga adalah hasil bantuan orang sekeliling termasuk bantuan daripada anaknya sendiri.
“Asalnya saya dan isteri nak belikan Ammar kereta Honda je. Paling maksimum pun kereta Mercedes lah. Fikir punya fikir, saya nak Ammar ‘enjoy’ zaman muda dia. Ammar punya impian nak beli kereta Perdana, Honda Accord atau Mercedes X-Class.
“Sebagai seorang bapa, saya memang nak nampakkan anak saya hebat. Ketika saya senang sekarang, saya nak anak rasa bersama. Waktu susah nanti, takut saya tak boleh bagi. Kalau mampu beli Axia, Axia sahajalah saya mampu tapi memandang ada kemampuan, saya nak dia seronok hidup sekarang.
“Apa yang saya buat sampai hari ini adalah untuk anak saya juga. Sejujurnya, saya gembira bila tengok dia (Ammar) gembira,” jelasnya.
Artikel lain: Rezeki anak soleh! Aliff Syukri & Shahida hadiahkan kereta mewah Porsche buat anak sulung
Terdahulu, Aliff menghadiahkan kereta sport yang dianggarkan bernilai kira-kira RM350,000 diberikan khusus bagi kegunaan harian Ammar, terutama sebagai pengangkutan ke kolej.
Sekadar info, selain Ammar, Aliff dan Shahida mempunyai lima lagi cahaya mata iaitu Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.
Sumber: Kosmo (Mohd. Haikal Isa)