Tak sampai sebulan, tiga kali keluar masuk PPS

Tak sampai sebulan, tiga kali keluar masuk PPS


KUBANG PASU: Dalam tempoh tidak sampai sebulan, penduduk di beberapa buah kampung di Changlun, di sini terpaksa menginap di pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak tiga kali akibat banjir.

Kebanyakannya mengakui letih berdepan situasi itu setelah masing-masing baru selesai mencuci rumah akibat dua kejadian banjir sebelum ini.

Menurut penduduk Kampung Nang Mah, Azizah Wahab, 46, dia bersama lima anaknya terpaksa berpindah ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun kira-kira pukul 4 pagi semalam berikutan kawasan rumahnya dinaiki air setinggi kira-kira satu meter.

“Ini kali ketiga saya bersama keluarga berpindah ke sini. Bukan kami tak pernah berpindah ke PPS pada tahun-tahun sebelum ini tetap kali ini keadaannya lebih teruk dan meletihkan.

“Kali pertama kami berpindah ke sini pada 19 September lalu selama empat hari, diikuti 27 September lalu selama tiga hari. Hari ini (semalam), kami kembali sekali lagi ke SMK Changlun akibat banjir.

“Sudah dua kali kami cuci rumah tetapi kali ini nampak lebih teruk dengan paras air juga lebih tinggi. Mujur saya masih belum turunkan barang-barang yang diletakkan di tempat tinggi sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam kejadian kelmarin hujan lebat yang berlarutan sejak tengah hari menyebabkan paras Su­ngai Laka meningkat sebelum air mula memasuki rumah penduduk pukul 7 petang.

“Biasanya setiap tahun paling banyak pun kami hanya berpindah dua kali ke PPS tetapi kali ini dalam tempoh tak sampai sebulan, sudah tiga kali kami berpindah,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Paya Nongmi, Md. Zain Dan, 59, mengakui perit untuk dia berpindah ke PPS buat kali ketiga setelah rumahnya pada tahun-tahun sebelum ini tidak pernah dinaiki banjir.

Bagaimanapun, dia bersyu­kur kerana kemudahan di PPS termasuk makanan dan minuman sentiasa mencukupi.

“Air yang turut membawa lumpur naik deras bermula pukul 9 malam menyebabkan kami terpaksa berpindah ke sini. Rumah pun belum sempat cuci lagi, tiba-tiba dilanda banjir kali ketig,” katanya.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, seramai 154 individu daripada 53 keluarga ditempatkan di PPS tersebut setakat pukul 12 tengah hari semalam.

Katanya, kesemua mereka merupakan penduduk di lapan buah kampung iaitu Kampung Belakang Sekolah Dato Kemara; Kampung Kubang Kayu; Kampung Paya Lantau; Kampung Belukar; Kampung Bendang Tok Leh; Kampung Padang Halban; Kampung Nang Mah dan Kampung Paya Nongmi.





Source link

OR

Scroll to Top