KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa fokus dalam menambah baik pelan pengurusan risiko banjir berikutan keadaan yang kritikal ketika ini kerana empangan sedia ada tidak lagi mampu menampung limpahan air akibat hujan lebat.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin berkata, pelan pengurusan perlu bersifat komprehensif meliputi program mitigasi mengawal bencana alam seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) arahan banjir dan pemetaan.
Menurutnya, pelan pengurusan itu juga perlu membabitkan perancangan penempatan semula yang perlu disusun dengan lebih rapi.
“Banjir merupakan fenomena berlaku setiap tahun sama ada akibat daripada air sungai yang melimpah kerana hujan lebat berpanjangan atau air yang dilepaskan kerana empangan tidak dapat lagi menahannya.
“Pihak berkuasa seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) perlu mencari solusi agar bencana banjir ini dapat dikawal secara total.
“Bagaimanapun, saya nampak agensi-agensi kerajaan di barisan hadapan ini komited dalam membantu dan memastikan keberadaan mangsa banjir di sini serba lengkap, dengan aktiviti-aktiviti yang menarik. Saya menghargai usaha tersebut. Syabas dan teruskan usaha gigih ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sri Rahayu dalam masa sama memberitahu pihaknya turut memberi bantuan asas kepada mangsa banjir seperti beras dan makanan lain, di samping menjalankan kerja-kerja sukarelawan sebagai peringatan dan menerapkan nilai kemanusiaan kepada semua yang terlibat.
“Terdapat tiga Pusat Penempatan Semula (PPS) secara rasmi yang dibuka iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Dewan Chikus dan Sekolah Kebangsaan Datuk Sagor. Saya juga difahamkan, ada juga tempat pemindahan sementara dibuka untuk empat buah keluarga belah Anak Sungai juga.
“Semoga usaha kami hari ini membawa sedikit sumbangan, menyumbang tenaga dan masa, mendapat berkat buat semua. Hari ini kami datang bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pasir Salak Bangkit,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sri Rahayu turut mengingatkan orang ramai agar mempunyai perancangan supaya masalah banjir di rumah masing-masing dapat dikawal dengan lebih baik sekiranya bencana itu kembali melanda.
“Beberapa persediaan dengan lebih awal perlu dibuat, mungkin perlu ubah suai susunan dan peralatan di rumah agar dapat mengurangkan risiko banjir nanti,” ujarnya. – UTUSAN